PARLIMEN | Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan Kementerian Dalam Negeri dan Bestinet Sdn Bhd memuktamadkan segera perjanjian penggunaan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).
Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata KDN juga perlu memastikan semua perolehan berkaitan teknologi maklumat pada masa hadapan mesti dirujuk kepada garis panduan sedia ada yang dikuatkuasakan oleh Agensi Digital Kebangsaan.
“PAC turut mendapati bahawa kontrak FWCMS belum dimuktamadkan dan ditandatangani antara kerajaan dan vendor walaupun Surat Setuju Terima (SST) bagi pembangunan sistem FWCMS telah dikeluarkan pada 12 Januari 2018 sehingga tarikh prosiding terakhir PAC, 13 Mac 2024.
“Ini bermakna kerajaan atau KDN menggunakan sistem FWCMS selama lebih kurang enam tahun tanpa kontrak yang dimuktamadkan dan ini jelas melanggar peraturan yang ditetapkan kerajaan,” kata Mas Ermieyati.
Menurut Mas Ermieyati Samsudin perkara itu antara hasil siasatan berhubung Laporan Pengurusan Pekerja Asing Melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan FWCMS di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) serta KDN yang dibentangkan hari ini.
PAC telah mengadakan empat prosiding pada 5 Disember 2023 dan 22 Januari serta 13 Mac lalu berhubung isu berkenaan.
Mas Ermieyati berkata antara saksi terlibat prosiding terbabit terdiri daripada Jabatan Audit Negara, KDN, Kesuma, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan vendor sistem FWCMS, syarikat Bestinet Sdn Bhd.
Jelasnya, melalui prosiding yang diadakan telah mendapati Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Ogos 2015 telah meluluskan pembangunan sistem ePPAX dan FWCMS iaitu dua sistem yang sama berkonsepkan single window.
"Ini sekali gus berlakunya pertindihan fungsi antara agensi dalam membangunkan sistem pengurusan pekerja asing dan pembaziran wang awam," katanya.
Laporan PAC yang dikeluarkan hari ini turut memberi tiga cadangan lain selepas empat prosiding yang diadakan sejak Disember tahun lepas mendedahkan pelbagai percanggahan dalam proses berkaitan sistem yang digunakan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.
[Baca berita asal]





