Selepas 14 tahun bersama DAP, bekas timbalan menteri Ong Kian Ming hari ini mengumumkan keluar parti, namun menegaskan dia tidak bercadang menyertai mana-mana parti politik lain atau bertanding pada PRU16.
Sebaliknya, bekas ahli parlimen Bangi itu berkata dia tetap komited untuk membantu bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin berkempen sekiranya Khairy diberikan kerusi untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Dalam surat kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Khoo Poay Tiong, Ong berkata peletakan jawatannya sebagai ahli DAP berkuat kuasa hari ini.
“Saya tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat dan saya tidak berniat untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang (PRU16).

“Saya tetap komited untuk menunaikan janji yang telah saya buat pada 10 Januari 2026, untuk membantu Khairy Jamaluddin berkempen dalam PRU16, jika beliau diberi kerusi untuk bertanding,” katanya.
Pengunduran Ong menyusuli beberapa tahun dia mengambil langkah menjauhkan diri daripada politik aktif DAP.
Pada Mac 2022, Ong gagal mengekalkan tempat dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sebelum mengumumkan mahu berehat daripada politik barisan hadapan dan tidak bertanding pada PRU15.
Dia kemudian menyatakan keletihan melampau serta perselisihan dengan beberapa pemimpin parti sebagai antara faktor di sebalik keputusannya.

Pada September 2024, Ong turut memilih untuk tidak bertanding dalam pengundian kepimpinan DAP Selangor kerana bimbang langkah itu boleh meletakkan beberapa rakan dalam parti dalam kedudukan sukar menjelang pengundian CEC kebangsaan.
Kebelakangan ini, Ong semakin lantang mengulas hala tuju politik DAP serta cabaran pilihan raya yang dihadapi parti itu.
Peletakan jawatannya berlaku lebih dua minggu selepas kongres khas DAP pada 16 Ogos, apabila majoriti besar perwakilan mengundi supaya parti itu kekal dalam kerajaan persekutuan sehingga tamat penggal Parlimen, di tengah-tengah rasa tidak puas hati terhadap kemerosotan prestasi pilihan raya dan kadar pelaksanaan reformasi.
Beberapa hari sebelum kongres itu, Ong mengemukakan hujah mengenai dua pilihan yang boleh diambil DAP - sama ada kekal dalam kabinet atau menarik keluar menteri-menterinya sambil terus menyokong kerajaan dari bangku belakang.
Sertai DAP pada 2012
Ong menyertai DAP pada 27 Ogos 2012 selepas membina nama sebagai penyelidik dan penganalisis politik.
Ketika menyertai parti itu, dia berkata pendirian DAP dalam isu utama negara selari dengan kepercayaan politiknya.
Dia kemudian menjadi ahli parlimen Serdang dari 2013 hingga 2018 sebelum mewakili Bangi dari 2018 hingga 2022.

Ong turut berkhidmat sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri dari 2018 hingga 2020.
Dalam parti, dia menjadi anggota jawatan kuasa pusat DAP yang dilantik dari 2019 hingga 2022 serta anggota Jawatankuasa DAP Selangor yang dipilih dari 2018 hingga 2024.
Dalam surat peletakan jawatannya, Ong turut mengucapkan terima kasih kepada bekas ahli parlimen Damansara Tony Pua kerana mengajaknya menyertai DAP serta membimbingnya sepanjang 14 tahun bersama parti itu.
Dia turut berterima kasih kepada bekas setiausaha agung DAP Lim Guan Eng kerana memberinya peluang bertanding di kerusi Serdang dan Bangi serta berkhidmat sebagai timbalan menteri.

“Saya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan ahli dan pemimpin DAP di Serdang dan Bangi semasa penggal saya sebagai Ahli Parlimen dari 2013 hingga 2022, berkhidmat untuk pengundi dan penduduk kawasan tersebut sebagai wakil rakyat mereka,” katanya.
Ong berkata dia akan terus menyumbang kepada negara menerusi saluran lain termasuk podcastnya “Are We OK”, pelbagai jawatan penasihat serta kerjasama dengan individu yang mempunyai pemikiran dan minat yang sama.
Dia mengakhiri surat peletakan jawatannya dengan ucapan: “Selamat Hari Merdeka!”





