Pada pandangan sesetengah pihak, kesilapan membabitkan bendera sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia tahun ini mungkin dianggap sebagai “padan muka”, terutama kerana beberapa insiden melibatkan PN dan BN.
Ini kerana sebelum ini, penyokong kedua-dua gabungan tersebut pernah mengecam dan menggunakan isu kesilapan bendera untuk membangkitkan kemarahan serta sentimen perkauman dalam kalangan penyokong.
Namun, adakah tindakan mendesak Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, yang sering dilihat sebagai pencetus provokasi, supaya mengadakan demonstrasi terhadap sekutu politiknya akan menyelesaikan masalah?
Atau tindakan seperti itu hanya akan memburukkan keadaan dan menambahkan perpecahan politik?
Jadi, bagaimana kita boleh menangani isu ini dengan lebih baik? Malaysiakini mengemukakan persoalan ini kepada ahli politik daripada pelbagai pihak. Kebanyakan mereka mencadangkan penyelesaian yang membina berbanding mengambil tindakan menghukum.
Bagi Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar, perkara itu perlu dimulakan dengan membezakan antara perbuatan sengaja menghina bendera dengan kesilapan atau kecuaian yang tidak disengajakan.
Mas Ermieyati berkata, ramai yang membeli bendera mungkin tidak memeriksa sama ada terdapat kesilapan pada bendera tersebut dan terus memasangnya kerana menganggap bendera itu sudah betul.

"Sebab tu tahun ini kita tengok sendiri kesilapan berkaitan Jalur Gemilang ni boleh berlaku dalam pelbagai keadaan, dan terjadi kepada pelbagai pihak, sama ada pihak A ataupun pihak B.
"Jadi, persoalannya, apakah respon ataupun tindak balas yang paling baik untuk negara. Dan pada saya, of course pendekatan kita kali ini lebih kepada mendidik, membetulkan, dan juga menyatukan,” katanya.
Menurutnya kerajaan perlu menambah baik garis panduan berkaitan penghasilan dan pemasangan bendera di semua peringkat, termasuk di sekolah, pihak berkuasa tempatan dan kawasan perniagaan.
Dalam sekurang-kurangnya dua insiden tahun ini, terdapat kesilapan pada reka bentuk Jalur Gemilang. Antaranya melibatkan baju-T yang dipakai Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor, dan tudung bercorak Jalur Gemilang yang dijual di pasar raya Mydin. Dalam kedua-dua insiden itu, reka bentuk bintang pada Jalur Gemilang tidak menepati jumlah 14 bucu seperti yang sepatutnya.
Sementara itu, Sukri berkata, tidak semua insiden perlu dipolitikkan sehingga menyebabkan rakyat melihat satu sama lain sebagai musuh.

Dia juga mengambil pendekatan yang lebih bertolak ansur terhadap kesilapan yang benar-benar tidak disengajakan.
Ini berbeza dengan pandangan sesetengah pihak sebelum ini yang menganggap seseorang tidak mungkin tidak menyedari Jalur Gemilang dipasang secara terbalik atau mempunyai kesilapan.
"Kalau seseorang memasang Jalur Gemilang secara terbalik kerana benar-benar tidak tahu, cuai atau tidak peka, tanpa niat menghina, maka itu lebih tepat dikategorikan sebagai kesilapan atau kecuaian.
"Tetapi kecuaian tetap perlu ditegur kerana kita sedang berurusan dengan simbol negara yang sewajarnya diberikan perhatian dan penghormatan," ujarnya.
Menurutnya, apabila berlaku kesilapan, langkah perlu diambil untuk mendidik, membetulkannya dan memastikan perkara yang sama tidak berulang pada masa hadapan.
Bagaimanapu, Sukri mengingatkan bahawa tindakan kecuaian yang berulang atau keadaan yang menimbulkan syak wasangka mengenai kemungkinan wujudnya unsur sengaja tidak menghormati bendera perlu disiasat secara menyeluruh.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, menasihatkan orang ramai supaya tidak terus merakam dan menyebarkan kesilapan pada bendera untuk dijadikan kandungan yang kemudiannya tular dan menimbulkan kemarahan.

Sebaliknya, katanya, mereka yang menyedari kesilapan tersebut perlu memaklumkan kepada pihak yang bertanggungjawab dan meminta supaya ia diperbetulkan.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, turut menyatakan pandangan yang sama dengan berkata mereka yang melakukan kesilapan perlu diberikan ruang untuk membetulkannya.
Mas Ermieyati, Sukri, Hassan dan Syerleena — serta Adun Melaka, Noor Helmy Abdul Halem — semuanya berpandangan bahawa ahli politik tidak seharusnya mengambil kesempatan daripada kesilapan membabitkan bendera untuk mencetuskan ketegangan, khususnya antara kaum.
Sukri berkata, usaha mempertahankan Jalur Gemilang tidak seharusnya dilakukan dengan mengorbankan perpaduan kaum.
Helmy, yang merupakan wakil rakyat Duyong, turut berkata apabila pemimpin menjadikan insiden berkaitan bendera sebagai isu besar, ia boleh menimbulkan salah faham, terutama apabila keadaan itu dilihat seolah-olah hanya menyasarkan satu kaum.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa setiap individu perlu bertanggungjawab apabila berlaku kesilapan, tanpa mengira keadaan yang membawa kepada kejadian tersebut.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada beberapa insiden bendera yang dipasang secara terbalik oleh pekerja, dengan pekerja terbabit dipersalahkan atas kesilapan tersebut, bukannya majikan mereka.
Sementara itu, Hassan berkata, walaupun bendera sengaja dipamerkan secara salah, ahli politik perlu memainkan perananan sebagai suara yang rasional dan menenangkan keadaan.
"Jika dapat dikenalpasti individu yang memang ada niat sumbang dan jahat sengaja menghina lambang negara iaitu bendera, ambillah pendekatan yang berhemah.
"Jangan gunakan polis, penguatkuasa PBT untuk bertindak. Libatkan pemimpin setempat, ketua kampung, penghulu, ahli majlis PBT, Adun atau Ahli Parlimen campur tangan, ambil tanggungjawab sebab warga itu anak buah mereka," katanya.
Syerleena berkata ahli politik juga perlu mengamalkan apa yang mereka sendiri laungkan.

“Kita perlu menghentikan persaingan pelik untuk menentukan siapa yang lebih Malaysia dan siapa yang ‘layak’ berada di sini. Tidak sepatutnya ada sesiapa yang perlu terus membuktikan bahawa negara ini ialah rumah mereka.
“Pemimpin politik mempunyai tanggungjawab yang besar dalam perkara ini, termasuk saya sendiri. Orang ramai memerhatikan apa yang kita katakan, apa yang kita ketawakan dan perkara yang kita pilih untuk diamkan. Kita tidak boleh bercakap tentang perpaduan di atas pentas, kemudian menggalakkan perpecahan di media sosial,” katanya.
Dia berkata ahli politik perlu menganjurkan lebih banyak aktiviti yang membolehkan para pengundi mereka saling mengenali, sama ada melalui gotong-royong, aktiviti sukan atau kerja sukarelawan, bukannya sekadar mengadakan sesi bergambar setiap tahun.
Katanya, apabila ahli politik bertindak dengan penuh kawalan diri, empati dan kematangan, sikap itu akan menjadi norma yang diikuti oleh masyarakat. Begitu juga sebaliknya apabila mereka bertindak sebagai provokator yang memalukan dan memecah-belahkan masyarakat.
Ahli politik DAP itu sedniri bersama pasukannya melancarkan “Ops Bendera”, iaitu usaha turun padang dari rumah ke rumah bersama sukarelawan Komuniti Madani Jabatan Penerangan untuk menerangkan cara yang betul memasang dan mempamerkan bendera.
“Perbualan seperti ini penting. Kadangkala orang ramai tidak tahu atau tidak menyedari kesilapan yang berlaku. Penjelasan secara baik lebih berkesan daripada memalukan mereka secara terbuka,” katanya.





