MUKTAMAR PAS | Lebih 1,500 perwakilan dari seluruh negara bakal hadir bagi mengikuti secara rapat Muktamar PAS kali ke-72 bermula 2 hingga 5 Sept depan.
Acara tahunan itu akan kembali ke bumi Cik Siti Wan Kembang dan negeri kubu kuat PAS itu pastinya diharap memberi semangat kepada setiap lapisan pejuang mereka khususnya sebelum menjelangnya pilihan raya umum (PRU) ke-16.
Muktamar PAS kali ini seperti biasa akan membuka tirai dengan musyawarah di peringkat sayap-sayap parti. Muktamar Pemuda akan berlangsung di sebuah hotel pinggir Sungai Kelantan di bandar Kota Bharu pada 2 dan 3 Sept.
Muktamar Dewan Ulama PAS pula akan berlangsung pada 3 Sept masing-masing di sebuah dewan di bandar Kota Bharu, manakala Muktamar Dewan Muslimat akan berlangsung di Kompleks Pendidikan Islam di Bachok, pada hari yang sama.
Acara kemuncak iaitu Muktamar PAS Pusat pula akan berlangsung pada 4 dan 5 Sept di Pusat Tarbiah Islamiyah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa.
PAS dijangka menonjolkan agenda dan pendirian mereka dalam menelusuri langkah ke Putrajaya yang menjadi idaman semua parti politik menjelang PRU ke-16.
Namun, bagaimana rentak yang akan mengiringi mereka bagi memastikan impian dan tujuan itu tidak lagi ditunda waktu?
Jika pada edisi Muktamar tahun lalu, persoalan siapa calon perdana menteri daripada PAS antara yang menjadi tumpuan, selain suara dan keazaman mereka untuk menerajui kepimpinan Perikatan Nasional (PN).
Kini, siapa calon perdana menteri PN atau PAS kekal menjadi rahsia. Mereka sudah tentu dalam kalangan ‘berlori-lori’ calon yang ada.
Magis Ahmad Samsuri dan nasib Bersatu
Namun PAS sekurang-kurangnya sudah berjaya mengambil-alih dan menerajui PN walaupun terpaksa berkonfrontasi dengan Bersatu.
Dalam tempoh setahun kebelakangan ini, PAS berdepan banyak perubahan dan pendirian, termasuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu dan menerima ahli baru dalam PN.

Di sebalik perubahan itu, PAS bagaimanapun dijangka tidak akan menamakan seorang daripada mereka sebagai calon perdana menteri. Alasannya, mungkin belum tiba masanya untuk berbuat demikian.
Atau mungkin juga PAS mempunyai calon lain yang bukan daripada partinya, misalnya dengan pelantikan semula Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang.
Ini kerana sudah menjadi tanggapan umum bahawa ketua pembangkang secara tidak langsung berpotensi diangkat sebagai perdana menteri.
Tetapi PAS tetap dilihat sudah bersiap-sedia, khususnya selepas naib presiden mereka Ahmad Samsuri Mokhtar dipilih sebagai pengerusi PN menggantikan posisi ditinggalkan Muhyiddin Yassin.
Dengan sentuhan ‘magis’ kepimpinan menteri besar Terengganu itu, PN melalui beberapa perubahan drastik. Antaranya dengan membawa masuk parti komponen baru iaitu Parti Wawasan Negara (Wawasan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Selain itu, terdapat juga cubaan yang dilihat untuk menyingkirkan Bersatu daripada PN dan konflik tersebut dilihat belum berakhir dengan tuntas.
Justeru, Muktamar PAS kali ini juga dijangka akan menyentuh dan menggesa supaya keberadaan Bersatu dalam PN dilenyapkan segera mungkin.

Bersatu kini adalah ‘seteru’ PAS. Kedudukan itu perlu dirasmikan termasuk menyelesaikan kedudukan dan kerjasama yang terjalin di peringkat negeri.
Misalnya di Perlis, perselisihan yang dianggap menjadi salah satu punca PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu. Sudah pasti kedudukan di Negeri Indera Kayangan itu membuatkan PAS ‘tidak senang duduk’.
Namun, tidak kurang penting bagaimana Ahmad Samsuri mengemudi PN yang membawa kepada titik persefahaman semula dengan Barisan Nasional (BN). Apa yang berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini memberi makna yang signifikan.
‘Usul wajib’
Justeru itu, pentas Muktamar ke-72 dijangka menjadi medan yang akan terus mengangkat seruan kerjasama antara PN dan BN dalam agenda penyatuan ummah selepas kegagalan Muafakat Nasional sebelum ini.
Seperti isyarat dilontarkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan baru-baru ini, betapa kerjasama antara PN-BN akan menjadi ‘usul wajib’ pada muktamar kali ini.
Ia seolah-olah akan menjadi satu penegasan betapa PAS akan memberi ‘tekanan’ agar simpang-siur agenda penyatuan ummah itu dizahirkan segera mungkin sekali gus melebarkan peluang mereka menuju ke Putrajaya.
Pimpinan Umno sendiri sudah memberi maklum balas positif bahawa mereka akan memenuhi jemputan PAS untuk menghadiri persidangan tahunan parti itu.
Namun, di tengah-tengah keghairahan itu, senario PRN Melaka yang bakal menjelang dilihat sedikit-sebanyak menjadi onak dan duri kerjasama antara dua gabungan besar itu dilaksanakan segera.
BN pastinya dalam dilema untuk menentukan rakan strategik bagi mempertahan kuasa di Melaka ataupun memilih untuk berjalan solo.
Mungkin di depan pimpinan BN di Putik nanti, PAS boleh merayu agar kerjasama yang terjalin di Negeri Sembilan sebelum ini sekali lagi menjadi ‘cinta’ di bumi Hang Tuah nanti.
Muktamar juga dijangka akan memgangkat semangat perjuangan PAS khususnya dengan tiupan naratif kelemahan-kelemahan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Isu-isu dalam bidang pendidikan, ekonomi dan sosial termasuk ‘ancaman’ DAP barang-kali kelal menjadi hujah-hujah menghiasi perbahasan para perwakilan dan pimpinan.
Dalam perkembangan itu Penolong Setiausaha Agung PAS, Syahir Sulaiman berkata muktamar kali ini adalah persidangan terakhir partinya sebelum PRI ke-16 dan tuumpuan aspek luaran diutamakan.
“Fokus luaran meliputi tawaran polisi dan kerangka bernegara iaitu politik, ekonomi, sosial dan perpaduan.
“Lebarkan penguasaan di negeri sasaran, hala tuju kerjasama politik sama ada secara gabungan atau persefahaman.
“Fokus dalaman pula melibatkan aspek pengukuhan organisasi dan jentera parti bagi mempertahankan semua kerusi parlimen dan dewan undangan negeri yang dimenangi,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Ternyata banyak hal yang harus dipertimbangkan PAS sebagai parti besar di tanah air ini, apa lagi ketika keputusan besar perlu diadun dengan bergaya.
Disela-sela percaturan politik, PAS mestilah ‘menjual’ prestasi-prestasi mereka di negeri yang ditadbir seperti Kelantan, Terenggangu dan Kedah.
Kehadiran ceramah lantang Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sempena muktakmar nanti pastinya ditunggu-tunggu sekalian penyokong untuk disambut dengan laungan takbir.
Pengarah pilihan raya PAS dan PN itu akan memukul genderang peranang, melontar kata-kata hikmah dan peluru tabur ke arah musuh-musuh mereka. Wallahualam.





