Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar memohon untuk berundur daripada jawatannya namun Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu memutuskan untuk memberinya cuti sementara.
Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata cuti berkenaan akan bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.
“MPP turut membincangkan permohonan saudari Nurul Izzah Anwar untuk mengundurkan diri dari jawatan timbalan presiden.
“Namun setelah mendengar pandangan Nurul Izzah dan pimpinan, MPP bersetuju untuk memberi cuti sementara bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumum,” katanya melalui kenyataan media selepas mesyuarat MPP hari ini.

Sepanjang ketiadaan Nurul Izzah, Naib Presiden PKR Saifuddin Nasution Ismail akan menjalankan tugas-tugas timbalan presiden.
Menurut Fahmi, MPP turut bersetuju supaya seorang lagi naib presiden, Amirudin Shari, menggalas sepenuhnya jawatan Pengarah Pilihan Raya PKR.
Nurul Izzah menyandang jawatan timbalan presiden PKR sejak 23 Mei tahun lalu selepas menewaskan penyandangnya, Rafizi Ramli dalam pengundian parti yang berlangsung di Johor.
Meskipun diberikan cuti selepas Kongres Nasional 2026, Nurul Izzah dijadualkan menyempurnakan perasmian kongres sayap wanita dan pemuda parti itu.

“Berhubung Kongres Nasional 2026, Nurul Izzah akan merasmikan kongres wanita dan Angkatan Muda PKR pada 14 Ogos 2026,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata PKR merakamkan penghargaan kepada bekas menteri besar Aminuddin Harun atas perkhidmatannya yang cemerlang selama dua penggal, susulan keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
“Parti juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan yang telah bekerja bertungkus lumus sewaktu dua PRN itu,” kata menteri komunikasi berkenaan.





