Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengumumkan penamatan misi mengkaji atmosfera dan evolusi Marikh selepas enam bulan terputus hubungan dengan pesawat angkasa peninjau.
Pesawat angkasa saintifik yang dinamakan MAVEN – singkatan bagi Mars Atmosphere and Volatile Evolution) – memasuki orbit Marikh pada 2014.
Menurut laporan AFP, misi itu pada asalnya bertujuan untuk beroperasi selama satu atau dua tahun, tetapi pesawat angkasa berkenaan kekal aktif lebih sedekad sebelum terputus hubungan dengan bumi pada Disember lalu.

Selepas berbulan-bulan menyepi, NASA pasrah dengan kehilangan pesawat angkasa itu, yang dipercayai masih berada di orbit sekitar Marikh.
Agensi angkasa lepas AS itu menyatakan pada Rabu bahawa ia akan menyiasat punca kehilangan tersebut.Bagi Shannon Curry, seorang profesor astrofizik yang terlibat dalam penerbangan itu, ia merupakan "misi Marikh terbaik yang pernah ada."
Pesawat itu membolehkan para saintis memahami fenomena kehilangan atmosfera, iaitu kehilangan gas atmosfera ke angkasa lepas, kata Curry kepada pemberita.
"Kita kini mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang kehilangan atmosfera di Marikh berbanding di planet-planet lain, termasuk Bumi, dan kesannya Marikh menjadi makmal semula jadi yang amat berharga untuk memahami atmosfera planet berbatu," katanya.
Ketua program penerokaan NASA, Tiffany Morgan, berkata MAVEN memberi sumbangan besar dalam meningkatkan pemahaman mengenai atmosfera Marikh, sejarah iklim dan potensi kebolehdiaman planet itu.
MAVEN juga berfungsi sebagai penghubung komunikasi antara bumi dan robot peneroka NASA yang beroperasi di permukaan planet merah itu.
Tugas berkenaan kini akan diambil alih oleh satelit pengorbit lain di sekitar Marikh.





