BICARA 1MDB | Bekas perdana menteri Najib Razak menjelaskan dia membawa masuk "individu lebih tegas" Johari Abdul Gani untuk menggantikan Ahmad Husni Hanadzlah sebagai menteri kewangan pada tahun 2016.
Tidak ada perkara yang tidak wajar dalam keputusan menggantikan Husni, kata bekas menteri kewangan itu memberitahu Mahkamah Tinggi di Putrajaya hari ini
Sebelum ini, Husni mendakwa telah diberi amaran oleh tertuduh agar tidak mencampuri urusan 1MDB.
Najib berkata keputusan untuk memindahkan Husni dibuat kerana dia sudah memikirkan Johari sebagai pengganti. Johari tokoh korporat dengan pengalaman dalam penstrukturan semula dan pemulihan syarikat.

Najib menjelaskan disebabkan masalah berkaitan 1MDB, dia melihat Johari sebagai pilihan yang logik kerana pengalaman dan kepakarannya boleh memainkan perananan dalam rasionalisasi 1MDB.
Semasa pemeriksaan semula oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, Najib menolak dakwaan pendakwaan dia cuba meminggirkan Husni ('cold-storage') susulan dakwaan pertanyaan Husni mengenai 1MDB.
Najib: Saya mahu dia (Husni) memainkan perananan dalam portfolio lain.
Shafee: Apa yang Johari Gani buat sekarang?

Najib: Selain menjadi Menteri Perladangan dan Komoditi, dia juga terus mengetuai pasukan petugas pemulihan hutang (1MDB).
Shafee: Masih berkaitan dengan 1MDB?
Najib: Ya, kepakarannya diiktiraf oleh kerajaan semasa.
Shafee: Adakah Johari Gani seorang yang lebih mudah dikawal berbanding Husni?
Najib: Saya rasa anda tahu karakter sebenar Johari, semua orang akan mengatakan Johari adalah seorang individu yang lebih sukar untuk dipengaruhi (tougher nut to crack).
Tertuduh memberikan keterangan dalam perbicaraan hari ini yang melibatkan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.27 bilion berkaitan 1MDB.





