Tujuh belas daripada 24 ketua cabang PKR berbangsa India bersama seorang ahli majlis pimpinan pusat (MPP) parti itu menyerahkan surat rasmi kepada Anwar Ibrahim bagi menggesa perdana menteri merangkap Presiden PKR mengetuai secara langsung badan mengelolakan hal ehwal dan pembangunan sosioekonomi masyarakat India di negara ini.
Surat berkenaan diserahkan oleh Adun Sentosa, Gunaraj George, kepada Anwar ketika kongres tahunan parti itu berlangsung di Melaka dan berakhir semalam.
Ketika dihubungi, Gunaraj mengesahkan dia menyerahkan surat tersebut secara terus kepada Anwar.
Menurut Gunaraj, tindakan itu diambil bagi membolehkan kepimpinan tertinggi negara menangani cabaran serta isu legasi yang dihadapi komuniti India secara lebih berkesan menerusi pelbagai agensi dan program sosioekonomi.
"Surat itu sehaluan dengan pengumuman Perdana Menteri di PRN Negeri Sembilan baru-baru ini yang menjadi langkah ke hadapan dalam usaha kerajaan Madani membantu masyarakat India.
"Kami sebagai pemimpin India dalam PKR perlu memastikan usaha itu berjalan tanpa sebarang gangguan," katanya kepada Malaysiakini.
Dalam surat bertarikh 16 Ogos yang dilihat Malaysiakini itu, pemimpin akar umbi terbabit turut menyatakan kesediaan untuk menggembleng sumber dan rangkaian di peringkat lapangan bagi menyokong pelaksanaan visi Anwar.
Mereka juga memohon ruang pertemuan bersama bagi mengemukakan beberapa cadangan dan strategi khusus berteraskan akar umbi.
"Permohonan untuk bertemu perdana menteri adalah bertujuan memastikan setiap bantuan dan dasar kerajaan dapat disalurkan secara telus serta sampai kepada golongan sasar tanpa sebarang ketirisan atau kelewatan," kata Gunaraj.
Dalam PRN Negeri Sembilan baru-baru ini, Anwar mengumumkan dia sendiri akan menyelia hal ehwal masyarakat India di negara ini yang sebelum ini dikendalikan oleh Menteri Sumber Manusia, R Ramanan.
Anwar berkata, antara perkara yang akan dipantau ialah bantuan agensi kerajaan seperti Tekun dan Amanah Ikhtiar Malaysia, selain urusan permohonan kewarganegaraan.
Pada majlis sama, Anwar turut meminta masyarakat itu memaafkan kesilapannya menggunakan istilah "kuil haram" ketika merujuk rumah ibadat yang dibina di atas tanah yang dipertikaikan.
Untuk rekod semalam Naib Presiden PKR, Amirudin Shari, memberitahu perwakilan, dalam PRN Negeri Sembilan pada awal bulan ini BN dan PN memperoleh lebih banyak undi India berbanding PH.





