Fikirkan masalah dialami sesebuah syarikat juga – itu pandangan bekas perdana menteri berhubung langkah kerajaan menyuntik dana RM1.1 bilion untuk syarikat Sapura Energy Bhd (Sapura Energy).
Kata Mahathir sesebuah kerajaan wajar membantu syarikat yang bermasalah namun ia mestilah tertakluk kepada alasan yang kukug serta kajian menyeluruh.
Menurut penasihat kepada empat kerajaan negeri PN itu, kejatuhan sesebuah syarikat seperti Sapura Energy akan memberi kesan kepada ekonomi serta tenaga kerja.
Langkah tersebut juga, katanya, mestilah dipantau agar matlamatnya tidak lari dari sasaran sebenar.
“Kalau mereka (kerajaan) buat kajian dahulu dan ada sebab, boleh bantu. Jangan kita bagi sesuatu syarikat itu mudah jatuh.
“Namun, kena tentukan wang yang diberikan itu digunakan dengan baik,” katanya seperti dipetik Sinar Harian ketika di Shah Alam malam tadi.
Semalam media melaporkan Sapura Energy menerima dana daripada kerajaan sebanyak RM1.1 bilion melalui Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).
Ia merupakan sebuah syarikat tujuan khas yang diletakkan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan.
Dalam pemberitahuan kepada Bursa Malaysia, Sapura Energy berkata wang berkenaan akan digunakan secara eksklusif untuk membayar hutang syarikat minyak dan gas itu kepada 2,000 vendornya.
Fikir masalah pekerja
Ia kemudian mendapat kritikan daripada pembangkang termasuk Ahli Parlimen Bachok dari PAS, Syahir Sulaiman.
Untuk rekod Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pernah menentang langkah menyelamatkan (bailout) dilakukan kerajaan BN ke atas Sapura Energy yang dibenani hutang. Pendirian itu dinyatakan Anwar ketika dia berdebat dengan Najib Razak tiga tahun lalu.
Ketika itu Anwar merupakan ketua pembangkang manakala Najib menjadi perdana menteri.
Kata Anwar sebarang perbincangan mengenai pakej penyelamatan hanya boleh dilakukan selepas audit forensik dibuat ke atas Sapura dibuat bagi menentukan sama ada syarikat itu - yang menerima banyak pelaburan daripada Permodalan Nasional Berhad - telah disalah urus.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, semasa mempertahankan langkah terkini semalam berkata, tindakan suntikan dana itu berbeza daripada apa yang pernah dibuat kerajaan sebelum ini.
Kata Fahmi, suntikan berkenaan merupakan satu “pelaburan strategik”.
“Pelaburan itu akan digunakan khusus untuk menguruskan tunggakan yang perlu dibayar oleh Sapura Energy kepada lebih 2,000 vendor dengan 80 peratus daripada mereka adalah bumiputera,” katanya.
Kata Mahathir walaupun langkah Putrajaya itu boleh dianggap sebagai bailout, ia dianggap perlu kerana syarikat yang berkaitan mempunyai jumlah pekerja yang begitu ramai.
“Mungkin ia adalah bailout tetapi mana-mana syarikat pun kita perlu bailout kerana kegagalan satu-satu syarikat memberi kesan, bukan sahaja kepada pemilik tetapi juga pekerja.
"Jadi kita kena fikir tentang masalah mereka juga,” katanya.





