Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta mempertimbangkan semula permohonan untuk menurunkan sewa tapak bazar Deepavali di sekitar Kuala Lumpur.
Presiden MyPPP, Loga Bala Mohan berkata partinya menerima aduan daripada kalangan peniaga mengenai kadar sewa semasa.
"Sebenarnya, kami menerima dua aduan. Yang pertama, kenaikan harga sewa tapak. Kedua, kami juga menerima aduan tempoh bazar Deepavali dipendekkan kepada dua minggu berbanding tempoh sebulan yang diberikan sebelum ini.
"Maka, kami harap DBKL mempertimbangkan semula kedua-dua aduan ini," katanya dalam sidang media di ibu pejabat MyPPP di Kampung Attap, Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, bekas timbalan menteri Wilayah Persekutuan itu meminta kerajaan mengekalkan harga sewaan RM150 untuk 30 hari yang dikenakan pada 2017.
"Saya diberitahu, cadangan sewa pada bazar kali ini adalah RM75 untuk sehari. Harga ini sangat tinggi, dan peniaga tidak mampu untuk membayar RM75 untuk sehari," katanya.
Bazar Deepavali merupakan acara tradisi penganjuran jualan bazar sempena perayaan Deepavali di seluruh negara yang bakal disambut penganut Hindu pada 31 Oktober ini.
Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan ulasan.
Sementara itu, Loga Bala juga meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mempertimbangkan untuk menambah peruntukan RM1.5 juta untuk bakul makanan sempena perayaan Deepavali.
"Kata menghargai usaha kerajaan membantu masyarakat India. Namun, peruntukan terlalu kecil dan mungkin tidak akan memberi manfaat kepada semua masyakarat India yang memerlukan bantuan ini.
"Seperti kata perdana menteri sendiri, bahawa kaum India merupakan antara golongan miskin tegar di negara ini.
"Kita harap beliau akan menambahkan lagi peruntukan ini agar matlamat kerajaan membawa hasilnya," katanya.
Sebelum ini, Anwar berkata kerajaan sehingga kini menyalurkan RM1.5 juta untuk bakul makanan sempena perayaan Deepavali.





