27.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 16, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Mungkir NSM: Oslo tak boleh berlindung di balik ‘force majeure’ – peguam

    Shopee Sale

    Tindakan Oslo melarang eksport teknologi pertahanan sensitif ke negara bukan anggota Nato tidak akan melepaskan kontraktor pertahanan Kongsberg secara automatik daripada menanggung liabiliti kerana gagal membekalkan sistem peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia, kata peguam Nizam Bashir.

    Bercakap kepada Malaysiakini, dia berkata, Putrajaya perlu menuntut pampasan daripada kontraktor pertahanan tersebut, bukan sahaja untuk mendapatkan semula bayaran yang dibuat bahkan untuk membayar balik kos lain yang timbul akibat kegagalan pematuhan kontrak tersebut.

    Katanya ia termasuk kos yang diperlukan untuk menanggalkan peralatan berkaitan yang telah dipasang pada kapal tempur pesisir (LCS) yang sedang dibina untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan memasang peralatan baru.

    "Norway dan Kongsberg tidak boleh mengabaikan kontrak berusia lapan tahun itu begitu sahaja – hanya beberapa hari sebelum penghantaran – tanpa sebarang implikasi kewangan.

    "Selain menuntut bayaran balik sepenuhnya, Malaysia boleh menuntut perbezaan kos perolehan sistem peluru berpandu pengganti dan semua perbelanjaan yang ditanggung atas kebergantungan terhadap kontrak tersebut," kata Nizam.

    Dia turut bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa kontrak yang telah ditandatangani telah mengikat, dan menggesa Putrajaya untuk menyokong protes diplomatiknya dengan prosiding undang-undang rasmi terhadap Norway dan Kongsberg.

    Menurut Nizam, walaupun perjanjian yang ditandatangani mengandungi klausa force majeure (keadaan luar kawalan), ia bukanlah lesen besar bagi kontraktor terbabit untuk cuci tangan daripada sebarang tanggungjawab.

    Nizam Bashir

    Klausa force majeure adalah peruntukan kontrak yang mengecualikan sesuatu pihak daripada kewajipan mereka apabila berlaku kejadian di luar kawalan mereka.

    "Kongsberg mesti membuktikan bahawa sekatan itu adalah sesuatu yang tidak dapat diramalkan. Sebagai sebuah syarikat pertahanan Norway, mereka tidak boleh mendakwa secara kredibel bahawa dasar kerajaan mereka sendiri adalah satu kejutan," katanya.

    Selain itu, tambah Nizam, tempoh masa keputusan sekatan itu juga boleh mematahkan hujah force majeure memandangkan Oslo hanya memaklumkan Putrajaya beberapa hari sebelum mereka sepatutnya menghantar NSM tersebut.

    Nizam turut membangkitkan isu lain, termasuk membenarkan Australia – yang juga negara bukan anggota Nato – untuk mengeluarkan peluru berpandu tersebut.

    "Jika sekatan ini benar-benar bersifat mutlak, mengapa Australia dikecualikan? Ketidakkonsistenan ini mesti ditekankan.

    "Force majeure adalah hujah undang-undang untuk diuji, bukannya satu fakta muktamad (fait accompli) yang perlu diterima begitu sahaja," tegasnya.

    Ada hak secara sah

    Turut senada dengan Nizam ialah pengamal undang-undang Arjun Mohanakrishnan yang percaya Malaysia – sebagai pihak yang tidak bersalah dalam isu ini – boleh mengambil tindakan terhadap Kongsberg kerana melanggar kontrak.

    Bagaimanapun, katanya, ia juga bergantung kepada terma dalam kontrak tersebut, termasuk jika ia mempunyai klausa yang menyatakan undang-undang negara mana yang mempunyai bidang kuasa ke atas perjanjian tersebut.

    MENARIK:  Umno mahu k'jaan Kelantan jawab luluskan 54 syarikat teroka hutan

    Sekiranya perjanjian itu tertakluk di bawah undang-undang Malaysia, kata Arjun, kerajaan berhak mendapat restitusi jika pelanggaran kontrak dapat dibuktikan.

    "Ini akan mengembalikan pihak-pihak yang terlibat kepada kedudukan sebelum kontrak ditandatangani. Maknanya syarikat itu perlu memulangkan wang yang telah diterima.

    "Pihak yang tidak bersalah juga boleh menuntut kerugian atas kebergantungan (reliance losses).

    “Sebagai contoh, Malaysia boleh menuntut kerugian lain yang ditanggung sebagai persediaan kontrak, seperti kos besar untuk mengubah suai semula LCS bagi menampung jenis peluru berpandu lain," katanya.

    Sekiranya Kongsberg mendakwa perjanjian itu kini terbatal atas faktor "kekecewaan kontrak" (frustrated contract) disebabkan undang-undang baru Norway yang menjadikannya haram, Arjun berkata, Malaysia masih berhak secara sah untuk mendapatkan bayaran balik wang yang telah dibayar.

    Bagaimanapun, tambahnya, Putrajaya secara amnya tidak boleh menuntut kerugian tambahan seperti kos pengubahsuaian kapal kerana tiada pihak yang dianggap bersalah secara undang-undang dalam situasi kontrak sedemikian.

    Bagi pensyarah undang-undang Daniel Abishegam, dia berpendapat kerajaan perlu meneroka penyelesaian melalui rundingan diplomatik sebelum meneruskan tindakan undang-undang.

    Bantahan kepada Oslo

    Pengarah akademik di Advance Tertiary College itu percaya Malaysia mungkin mendapat penyelesaian yang lebih baik melalui saluran diplomatik, termasuk cuba meyakinkan Norway bahawa Malaysia bukan ancaman kepada negara-negara Nato sehingga perlu dilarang daripada mendapatkan NSM.

    "Rundingan diplomatik mungkin terbukti lebih berkesan daripada terus menggunakan tindakan undang-undang.

    "Saya percaya Norway membuat pengecualian untuk Ukraine, jadi mungkin kita boleh meyakinkan mereka bahawa kita sama sekali bukan ancaman kepada mereka atau mana-mana negara Nato yang lain.

    “Kestabilan geopolitik di rantau ini yang datang daripada Malaysia yang bersenjata lengkap boleh memberi manfaat kepada Norway," kata Daniel.

    TLDM dilaporkan menandatangani perjanjian dengan Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) pada April 2018. Kontrak itu bernilai €124 juta (RM571.9 juta) untuk melengkapi enam kapal LCS barunya.

    Peluru berpandu itu dipilih kerana keupayaan serangan jarak jauh, ciri-ciri mengelak radar, dan keserasian dengan sistem tempur moden.

    Bagaimanapun, pada awal bulan ini, portal berita pertahanan Malaysian Defence melaporkan Oslo memutuskan untuk menyekat penghantaran peluru berpandu tersebut tanpa perundingan atau makluman awal kepada Malaysia.

    Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin kemudian mengesahkan dia dimaklumkan mengenai sekatan itu ketika menghadiri pameran DSA 2026 April lalu.

    Keputusan Norway itu membawa kepada tindakan Anwar “menyatakan bantahan keras” kepada rakan sejawatannya dari Norway, Jonas Gahr Store dalam satu panggilan telefon pada 14 Mei.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah