Kerajaan mesti memastikan MYAirline Sdn Bhd menjelaskan semua tunggakan gaji kakitangannya seperti yang dijanjikan dalam mesyuarat sebelum ini, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
"Keutamaan kementerian adalah memastikan nasib pekerja dibela.
“Jangan biarkan pekerja menanti seperti menunggu buah yang tidak gugur.
“Syarikat sepatutnya melunaskan tunggakan gaji pekerja pada 31 Januari lalu, sepertimana yang dijanjikan," kata Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor (gambar bawah) pada kenyataan hari ini.

Pada Oktober tahun lepas, MYAirline secara mengejut menggantung operasinya, dengan alasan syarikat itu mengalami "tekanan kewangan yang ketara" hampir setahun selepas penerbangan sulungnya.
Keputusan mengejut itu menimbulkan kemarahan banyak pihak, termasuk Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang berkata pihaknya tidak dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.
Selepas itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menggantung Lesen Perkhidmatan Udara MYAirline pada 1 Nov.
Tambah baik undang-undang buruh
Sementara itu, Kamarul berkata kakitangan MYAirline tidak boleh menunggu tunggakan gaji mereka sehingga pelabur baru datang untuk menyelamatkan pesawat itu, menyifatkan janji syarikat itu tidak munasabah.
Kamarul juga ragu-ragu jika syarikat penerbangan itu akan mendapatkan pelabur baru tidak lama lagi kerana MYAirline telah menghentikan operasi selama lima bulan.
"Keadaan dan kehidupan pekerja pekerja MyAirline amat memeritkan susulan kegagalan syarikat membayar gaji sejak Oktober 2023.

"Penderitaan pekerja berganda bagi persediaan pembukaan sekolah dan Ramadan yang memerlukan kewangan yang banyak," katanya lagi.
Sehubungan itu, Kamarul menggesa kerajaan untuk menambah baik undang-undang berkaitan hak pekerja dan memperkukuh peruntukan berkaitan pembayaran gaji, pakej pemberhentian dan lain-lain, terutamanya apabila syarikat tidak beroperasi.
Undang-undang, tegasnya mesti memastikan syarikat bertindak secara bertanggungjawab terhadap pekerja mereka, dengan kesejahteraan mereka diberi keutamaan sekiranya muflis.
Menurut Kamarul lagi, peruntukanundang-undang sedia ada tidak begitu berkesan sehingga menyebabkan majikan tidak membayar gaji pekerja mereka sementara syarikat menunggu untuk diisytiharkan muflis.





