Isu pembunuhan anjing liar di Besut, Terengganu oleh pihak berkuasa tempatan mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat pada sesi perbahasan di sebelah petang hari ini.
Ia selepas Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mendakwa operasi membunuh anjing liar di kawasan itu yang mendatangkan ganggu gugat dilakukan mengikut prosedur ditetapkan.
Che Mohamad membangkitkan isu itu bagi menjawab RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mendakwa tindakan diambil Majlis Daerah Besut itu rakus dan tidak berperikemanusiaan.
"Jadi kita kena jawab, sebenarnya banyak dah aduan tentang anjing liar di Besut ni, dia ada 800 ekor anjing, 131 aduan dah ada.
"Sebenarnya justifikasi dah ada haiwan liar ni beri kesan negatif, masalah kacau ganggu di kawasan dan ancaman penyakit...ancaman kecederaan kepada orang ramai dan juga kotoran najis di kawasan sekitar.
"Banyak justifikasi bukan (tindakan) sembrono," katanya ketika membahaskan Rang Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Kenyataan Ahli Parlimen Besut itu mendapat bantahan Chong Zhemin (PH- Kampar) yang mendakwa justifikasi dikemukakan Che Mohamad telah mengelirukan dewan.
Menggunakan peraturan dewan, Zhemin menyentuh Akta Pencegahan Haiwan yang menetapkan bahawa tidak boleh membunuh haiwan sedemikian rupa.
"Kena ikut SOP walaupun itu anjing liar kena tangkap berhemah, tak boleh cederakan anjing itu, jangan cakap ini boleh justifikasi," kata Zhemin.
Che Mohamad kemudiannya meminta Zhemin duduk kerana didakwa mengganggunya ketika berbahas sehingga mencetuskan peranang mulut.
Dia mempertahankan tindakan diambil berdasarkan prosedur yang telah ditetapkan.
"Kita dah ikut prosedur you jangan ganggu (perbahasan). Yang Dipertua dia menganggu, awak (Kampar) yang tak faham," kata Che Mohamad.
Ketegangan itu membawa campur tangan Speaker Johari Abdul yang mengarahkan kedua-dua mereka duduk dan seterusnya meminta Che Mohamad membuat penggulungan.
Sebelum ini, sekumpulan aktivis dan peguam hak haiwan membantah tindakan MDB menembak mati seekor anjing jalanan yang dikenali sebagai Kopi pada 6 Okt lalu.
Selain membuat laporan polis untuk menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan, mereka juga merancang untuk menyerahkan memorandum kepada parlimen bulan depan