PRN JOHOR | MIC mencongak strategi tersendiri apabila keluar dari zon selesa dengan cuba mencabar pengaruh PH dalam pilihan raya kali ini.
Jika dulu percaturan mereka lebih kepada kawasan luar bandar seperti Kahang, dan Kemelah, kini MIC mengambil langkah berani dengan meletakkan calon di DUN Perling yang memang dikenali sebagai kawasan penyokong PH.
Pengerusi MIC Johor, K Raven Kumar, berkata keputusan mereka melepaskan kerusi DUN Tenggaroh dan mencuba nasib di Perling adalah langkah taktikal bagi menembusi kawasan bandar yang mempunyai jumlah pengundi India tinggi.
"MIC perlu keluar dari zon selesa di luar bandar sekiranya mahu dilihat sebagai wakil mutlak masyarakat India," katanya kepada Malaysiakini.
Tambah Raven Kumar, kerusi Tenggaroh - yang dimenangi MIC sebelum ini - diserahkan kepada Umno dan sebagai ganti, mereka diberikan kerusi Perling.
Untuk rekod dalam PRN lalu kerusi Perling dimenangi Liew Chin Tong (PH-DAP) yang memenanginya dengan majoriti selesa - 3,347 undi. Dia mengalahkan dua pencabar iaiut Tan Hiang Kee dan Khoo Siaw Lee, masing-masing dari MCA dan PN.
Menurut Raven Kumar, kerusi Perling itu lazimnya ditandingi oleh satu lagi parti komponen BN iaitu MCA.
Dia sendiri meninggalkan kerusi Tenggaroh yang dimenanginya dalam PRN 2022 dengan majoriti 1,356 undi untuk bertanding di Kemelah. Raven Kumar menjadi calon menggantikan penyandang, N Saraswati (MIC), yang memenangi kerusi Kemelah dengan majoriti 1,611 undi.
"Strateginya, MIC mahu bertanding di kerusi yang lebih urban untuk memberikan khidmat kepada masyarakat khususnya berbangsa India," katanya.
Tempat lahir, dibesarkan
Jelas Raven Kumar, MIC tidak mahu keadaan seperti kawasan Johor Bahru yang mempunyai ramai pengundi India tetapi tiada satu pun kerusi yang ditandingi atau dimenangi tersebut.
"Untuk membolehkan MIC relevan dalam politik, kami perlu bertanding di kerusi bandar dan tidak lagi boleh hanya memberikan perhatian kepada kerusi luar bandar," katanya.
Tambah Raven Kumar, DUN Perling terletak dalam zon koridor ekonomi khas dan mempunyai impak yang besar kerana ada lebih 14,000 pegundi India yang menetap atau bekerja di situ.
Katanya MIC sedar percaturan mereka bertanding di kawasan berhampiran Johor Bahru adalah berisiko tinggi serta mencabar, namun menawan kerusi Perling bukanlah mustahil.
Caranya, kata Raven Kumar, jentera parti bergerak dengan baik dan mampu bertemu dengan seramai mungkin pengundi di situ.
Pada PRN 2022, MIC menyumbang tiga kerusi untuk mencipta kemenangan majoriti dua per tiga BN melalui Kahang, Tenggaroh, dan Kemelah, namun tewas tipis (137 undi) kepada PH di Bukit Batu.
Mengulas percaturannya beralih ke Kemelah, Raven Kumar berkata, ia sangat bermakna kawasan tersebut menjadi tempat dia dilahir dan dibesarkan.

Malah ibu dan bapanya juga berasal dari situ, menjadikan Raven Kumar calon terbaik dari segi strategi parti untuk mencapai kemenangan.
Perling menjadi tumpuan utama sebagai medan penghijrahan urban MIC. Kerusi itu menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon BN-MIC, Pannir Selvam, yang akan menentang Alan Tee Boon Tsong (PH) dan Boo Wei Han (Bersama).
Di kerusi Bukti Batu yang mempunyai seramai 49,963 pengundi pula, MIC dijangka berdepan dengan cabaran sengit dalam pertembungan lima penjuru.
MIC mempertaruhkan setiausaha parti itu untuk Johor, R Kumaran, dalam usaha merampas semula kerusi tersebut daripada penyandangnya, Arthur Chiong Sen Sern (PH-PKR).
Turut mencuba nasib ialah G Tamili (Bersama), M Premanand (Muda), dan Kamaruzaman Ali yang bertanding atas tiket bebas menggunakan lambang Kunci.
Yakin dihargai pengundi
Sementara itu, DUN Kahang yang mempunyai 29,814 pengundi merupakan kerusi tradisi MIC yang ditandingi sejak 2004 dan mereka tidak pernah kalah di situ.
Kali ini MIC mempertaruhkan V Rugendran dalam saingan tiga penjuru menentang Mohd Sabri Abd Kadir (PH) dan Mazlan Bujang (PN-PAS).
Dalam PRN lalu penyandang kerusi tersebut selama empat penggal R Vidyananthan menang selesa dengan majoriti 6,698 undi menumpaskan pencabar dari PN, PH, dan Pejuang.
Walaupun menyedari cabaran getir menanti di kerusi seperti Perling dan Bukit Batu, Raven Kumar berpendapat MIC mampu melakar kemenangan berdasarkan kepada rekod prestasi cemerlang mereka dalam kerajaan negeri.

Katanya sejak empat tahun lalu MIC melaksanakan pelbagai inisiatif berorientasikan perkhidmatan untuk masyarakat India di Johor. Misalnya isu kubur penganut Hindu, tanah kuil dan gereja serta menyediakan tanah kepada dua sekolah Tamil.
"Melalui pendekatan berasaskan perkhidmatan, kami telah melakukan kerja yang baik.
"Kami yakin pengundi hari ini sudah jelas dan sangat rasional," katanya.
Ditanya mengenai peluang BN Johor secara keseluruhan, Ravn Kumar menegaskan prestasi ekonomi negeri itu yang cemerlang menjadi hujah terkuat mengapa pengundi - termasuk hampir 296,000 pengundi India - perlu terus menyokong gabungan tersebut.
"Johor adalah negeri penerima pelaburan tertinggi dengan peningkatan pendapatan yang ketara.
"Banyak usaha sedang berjalan dan banyak rumah sedang dibina.
“Dari segi ekonomi, ia berjalan dengan baik. Kebanyakan orang menghargai pentadbiran yang baik ini," katanya.





