Sekumpulan staf Universiti Malaya (UM) gagal memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan bagi merayu terhadap keputusan yang menolak permohonan mereka untuk mencabar pekeliling kerajaan yang mewajibkan suntikan vaksin Covid-19.
Panel tiga hakim yang diketuai Rhodzariah Bujang serta dianggotai Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Azmi Ariffin menolak permohonan itu selepas memutuskan mereka gagal memenuhi syarat di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Mahkamah memerintahkan pemohon membayar kos sebanyak RM25,000 kepada kerajaan dan RM25,000 kepada Pendaftar UM.
Pada 27 Okt 2021, beberapa guru daripada pelbagai sekolah kerajaan memfailkan semakan kehakiman terhadap enam responden, iaitu Menteri Pendidikan, Ketua Pengarah Pendidikan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan dan Kerajaan Malaysia.
Pada 29 Okt tahun sama, sekumpulan staf UM memfailkan permohonan serupa dan menamakan Pendaftar UM, KPPA, Menteri Kesihatan dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Mereka memohon untuk membatalkan pekeliling dikeluarkan oleh KPPA bertarikh 18 Okt 2021 yang mewajibkan vaksinasi Covid-19 bagi semua penjawat awam serta memperluas kewajipan itu kepada petugas badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan.
Kumpulan itu diberikan kebenaran oleh Mahkamah Tinggi untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pekeliling tersebut pada Mei 2022.
Bagaimanapun, pada 14 Dis 2023, Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu dan memutuskan bahawa arahan vaksinasi tersebut adalah sah di sisi undang-undang, munasabah dan rasional.
Rayuan mereka seterusnya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Jan tahun ini, menyebabkan staf UM terlibat meneruskan permohonan mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan manakala kumpulan guru terbabit tidak meneruskannya.
Pada prosiding hari ini, peguam Adrian Yeow Way Thiam yang mewakili pemohon memohon mahkamah memberikan kebenaran bagi lima persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Biner berhujah bahawa persoalan yang dibangkitkan itu tidak mempunyai kaitan langsung dengan remedi utama dimohon oleh pemohon dalam semakan kehakiman itu.
Sementara itu, peguam Raja Eileen Soraya Raja Aman yang mewakili Pendaftar UM berhujah persoalan tersebut bukanlah perkara baharu dan tidak membangkitkan sebarang isu undang-undang baharu.





