Menteri Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata dia tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB).
"Saya tidak sedar ada mesyuarat lembaga pengampunan akan diadakan hari ini," katanya secara ringkas kepada pemberita selepas menghadiri majlis peluncuran Stesen KTMB Segambut Utara, Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Terdahulu, terdapat desas-desus bahawa FTPB akan mengadakan mesyuarat hari ini untuk berbincang permohonan pengampunan baru bekas perdana menteri Najib Abdul Razak.
Ini susulan laporan sebuah portal bahawa seorang hakim bersara dan bekas pegawai kanan polis dilantik menganggotai FTPB, sekali gus membolehkan lembaga itu menyambung semula pendengaran petisyen pengampunan.
Bawah Perkara 42(6) Perlembagaan Persekutuan, semua ahli lembaga memegang jawatan selama tiga tahun dan layak dilantik semula.
Hannah menganggotai FTPB atas kapisiti selaku menteri Wilayah Persekutuan.
Sebelum ini portal Free Malaysia Today laporkan Najib mengemukakan permohonan pengampunan baru kepada FTPB pada bulan Ramadan lalu (sekitar Mac 2026), dengan salinannya dihantar ke Istana Negara.
Permohonan itu dilaporkan bertujuan untuk memohon pelepasan penuh daripada segala sabitan jenayah. Namun, masih tidak dapat dipastikan sama ada permohonan itu hanya melibatkan kes SRC International, kes 1MDB, atau kedua-duanya sekali.
Bagaimana peguam kanan, Shafee Abdullah menafikan Najib mengemukakan permohonan pengampunan baru.
Menurut Shafee dia boleh mengesahkan bahawa tiada permohonan baru difailkan oleh ahli politik terbabit yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram yang melibatkan RM42 juta dana SRC pada 2020.
Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Anak kepada perdana menteri kedua Malaysia itu mula menjalani hukuman penjara dua tahun selepas sabitan apabila semua ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 2024 memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib kepada enam tahun, manakala jumlah denda menjadi RM50 juta susulan permohonan pengampunannya sebelum itu.
Najib kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun yang sama, dengan mendakwa terdapat titah tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.
Pada 22 Dis tahun lalu hakim Alice Loke menolak permohonan tersebut kerana berpandangan titah adendum tersebut tidak sah mengikut undang-undang. Najib merayu terhadap keputusan berkenaan.
Kes kolam takungan air
Sementara itu, dalam satu perkembangan lain, Hannah yang juga ahli parlimen Segambut berkata bahawa dia masih menunggu laporan SPRM mengenai siasatan berhubung dakwaan enam kolam takungan banjir di sekitar ibu negara yang diluluskan ditukar status untuk projek pembangunan.
"Ketika itu kami pembangkang, saya juga membuat laporan SPRM.
"Jadi, saya perlu dapatkan status dari SPRM sebelum saya berkomen," katanya ketika ditanya mengenai status terkini siasatan tersebut.
Pada 2021, media tempatan melaporkan Hannah menggesa SPRM agar mengambil tindakan segera berhubung dakwaan terbabit yang bertentangan dengan matlamat sebenar keperluan kolam berkenaan.
Dia juga dilaporkan berkata Laporan Ketua Audit Negara 2019 mendedahkan sepanjang tempoh 2015 hingga 2020, Datuk Bandar meluluskan 943 kebenaran peranancangan walaupun tidak selaras dengan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBKL) 2020.
Susulannya, pada Jan 2022 pesuruhjaya SPRM ketika itu Azam Baki berkata SPRM akan menyiasat melibatkan pelbagai aspek termasuklah unsur rasuah dan salah guna kuasa.





