Ahli Parlimen PKR, Lee Chean Chung mempersoalkan Pemuda PAS Selangor kerana menganjurkan perhimpunan di Shah Alam esok untuk membantah Ahli Parlimen Seri Kembangan, Wong Siew Ki.
Ini berkaitan dengan kenyataan Wong yang membangkitkan isu penternakan babi di Dewan Undangan Negeri Selangor, yang didakwa oleh PAS sebagai satu tindakan yang tidak menghormati Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Dalam satu kenyataan, Lee menegaskan bahawa Pemuda PAS Selangor mahu menggunakan hak mereka untuk berhimpun bagi menafikan hak Wong untuk bersuara.
"Selaku Adun Seri Kembangan, Wong menggalas tanggungjawab untuk membawa isu yang menjadi keprihatinan penduduk Selangor ke Dewan Undangan Negeri untuk dibahaskan.
"Isu penternakan babi yang dibangkitkan Adun Seri Kembangan, membabitkan kepentingan awam, antara keperluan sumber protein dan kelestarian alam, yang harus ditangani secara adil, telus, rasional dan profesional.
"Jika suara ini tidak boleh dibawa ke dewan yang mulia, ke manakah lagi suara rakyat boleh disampaikan dalam proses rundingan dan pembuat dasar?" soal Lee.
Ahli Parlimen Petaling Jaya itu mengimbas kembali ketika dia digantung daripada Dewan Undangan Negeri Pahang pada 2014 kerana mempersoalkan bajet tahunan kerajaan negeri.
Lee berkata dia menerima sokongan daripada Adun PAS, yang sanggup keluar bersamanya untuk mempertahankan haknya untuk bersuara.
"Persoalannya, di manakah semangat PAS yang ada pada ketika itu sekarang?
"Malangnya PAS Selangor gagal memahami erti 'hak dan kebebasan' yang rakyat dukung selama ini.
"PAS mahu menggunakan 'kebebasan berhimpun' dirinya, untuk menafikan 'kebebasan bersuara' seorang Adun, yang diamanahkan pengundinya untuk mengetengahkan satu isu yang berkait rapat dengan hak sumber protein," kata Lee.
Bulan lalu, semasa perbahasan titah diraja di Dewan Undangan Negeri Selangor, Wong menggesa kerajaan negeri untuk mempertimbangkan sistem penternakan babi moden dan menyatakan bahawa isu itu menyentuh hak kesaksamaan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu dilihat oleh pihak tertentu sebagai tidak menghormati Sultan Selangor yang bertitah pada Februari bahawa tiada penternakan sedemikian dibenarkan di negeri ini.
Susulan itu, Pemuda PAS Selangor mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan demonstrasi anti-DAP yang digelar 'Himpunan Daulat Tuanku' yang akan diadakan di Shah Alam esok.





