Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan menegaskan kehadirannya yang semakin kerap di Parlimen Hulu Selangor bukan isyarat bahawa dia akan bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Tokoh akademik itu berkata, tumpuannya ketika ini adalah untuk memaksimumkan kebajikan rakyat dan bukannya merencana strategi politik untuk pilihan raya.
"Ahli politik biasa memikirkan pilihan raya akan datang, tetapi negarawan memikirkan generasi akan datang.
"Jadi saya fikir untuk memberi manfaat kebaikan kebajikan sebaiknya kepada seluruh rakyat Malaysia. Kita tak fikir pasal itu (PRU16)," katanya dalam satu video yang dikongsi di media sosial.
Kehadiran Zulkifli di Hulu Selangor sejak akhir-akhir ini menjadi tumpuan spekulasi selepas dilihat aktif menjalankan gerak kerja sejak Februari lalu. Antara program yang dihadirinya termasuk penyampaian Sumbangan Tunai Rahmah serta bantuan di Darul Quran Kuala Kubu Bharu yang menyantuni masyarakat Orang Asli dan pelajar orang kurang upaya (OKU).
Satu sumber parti yang rapat dengan kepimpinan tertinggi PKR mendakwa, terdapat "isyarat" supaya Zulkifli mempergiatkan aktiviti di Hulu Selangor sebagai persediaan awal untuk kerajaan Madani menawan semula kerusi panas tersebut daripada Perikatan Nasional (PN).

Walau bagaimanapun, Ketua Cabang PKR Hulu Selangor merangkap bekas calon PRU15, Dr Sathia Prakash Nadarajan menganggap kekerapan kunjungan menteri itu sebagai satu kerjasama kemanusiaan yang dialu-alukan demi kepentingan penduduk setempat.
"Sudah tentu dia sering datang. Mereka aturkan program dan jemput saya sekali. Hulu Selangor mengalu-alukan semua kementerian asalkan rakyat dijaga," katanya.
Sathia turut menambah bahawa pengundi di kawasan itu kini lebih bijak menilai pemimpin yang benar-benar konsisten membantu mereka berbanding individu yang hanya muncul ketika musim berkempen.

Untuk rekod, Parlimen Hulu Selangor kini dipegang oleh Mohd Hasnizan Harun daripada PN yang menang dengan majoriti tipis 1,569 undi pada PRU15.
Dengan komposisi kira-kira 140,000 pengundi campuran, kerusi ini dianggap sebagai salah satu medan pertempuran paling sengit pada PRU16 nanti.





