Mesir menarik balik arahan penutupan awal terhadap kedai, restoran dan pusat komersial selepas hampir sebulan, sekali gus menamatkan antara langkah kecemasan utama berkaitan krisis tenaga akibat peranang AS-Israel terhadap Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kerajaan berkata premis perniagaan akan kembali beroperasi seperti biasa selepas keputusan sebelum ini mewajibkan kedai, pusat beli-belah dan restoran ditutup pada 11 malam waktu tempatan (2000 GMT).
Langkah itu diperkenalkan pada akhir Mac bagi mengurangkan penggunaan bahan api selepas peranang menyebabkan kos tenaga global meningkat dan bil import Mesir melonjak dengan ketara.
Perdana Menteri Mostafa Madbouly mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat pengurusan krisis bagi menilai kesan ketegangan ketenteraan AS-Israel-Iran yang berterusan serta implikasi ekonominya terhadap ekonomi tempatan, menurut kenyataan Kabinet.
Kabinet meluluskan penamatan keputusan penutupan awal itu dan mengembalikan waktu operasi biasa yang diguna pakai sebelum ini bagi kedai, pusat beli-belah dan restoran.
Jurucakap Kabinet Mohamed El-Homsani dalam temu bual telefon dengan sebuah saluran tempatan berkata keputusan itu telah dibatalkan sepenuhnya, manakala langkah penjimatan tenaga lain termasuk bekerja dari rumah pada Ahad akan dikekalkan.
Beliau berkata langkah itu dibuat susulan permintaan sektor swasta, khususnya sektor pelancongan.
Pada 28 Mac, pihak berkuasa mengarahkan kedai, pusat beli-belah, restoran dan kafe ditutup pada 9 malam sepanjang minggu, dengan waktu operasi dilanjutkan hingga 10 malam pada Khamis dan Jumaat sebelum tempoh itu kemudian dilanjutkan kepada 11 malam.
Kerajaan turut memperkenalkan langkah penjimatan lebih meluas, termasuk memadamkan papan iklan di lebuh raya serta mengurangkan pencahayaan jalan dan dataran awam sebagai sebahagian daripada rancangan lebih besar untuk mengurangkan penggunaan tenaga.





