Malaysiakini merangkul Anugerah Kajai buat julung-julung kalinya hari ini, selain memenangi dua anugerah bagi hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2023.
Anugerah paling berprestij dalam kewartawanan Malaysia itu dimenangi wartawan S Vinothaa, Ooi Choon Nam, Affan Amrish Mohd Jalani menerusi laporan tiga siri mengenai kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah yang diambil secara paksa daripada ibu bapa mereka untuk dijadikan anak angkat.
Mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000, berserta trofi dan sijil.
Siri laporan itu juga dicalonkan untuk Anugerah Society of Publishers in Asia (Sopa) 2024 dan dijadikan sebagai dokumentari selama 16 minit.
Sementara itu, Vinothaa turut memenangi tempat pertama bagi kategori 'Kewartawanan Penyiasatan Terbaik' menerusi laporan bertajuk '‘Exposed: Shackles of rampant modern-day slave trading’.
Laporan yang disiarkan pada 13 Jun itu membongkar isu pemerdagangan manusia secara terbuka melibatkan pekerja asing dengan bayaran dikenakan kepada majikan dan komisen diperolehi daripada gaji pekerja berkenaan.
Dia memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM10,000, sebuah trofi dan sijil.
Hadiah tersebut akan dikongsi dengan bekas wartawan Arulldas Sinnappan, yang turut menyumbang kepada laporan tersebut. Arulldas tidak dapat dicalonkan kerana akreditasi medianya telah tamat tempoh.
Tempat pertama bagi kategori “Kewartawanan Multimedia Terbaik” dimenangi menerusi laporan Malaysiakini bertajuk ‘State polls: How far can the ‘Green Wave’ go?’
Fitur interaktif itu menerangkan mengenai dinamik pilihan raya di enam negeri pada tahun lalu dan membolehkan pembaca melakukan simulasi keputusan pilihan raya menerusi pelbagai senario.
[Berita penuh menyusul]





