Keluarga Teoh Beng Hock berjaya dalam tindakan undang-undang mereka untuk memaksa polis menyelesaikan siasatan sekian lama berhubung kematiannya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini membenarkan semakan kehakiman berhubung insiden 2009 susulan kematian mendiang selepas disoal siasat oleh SPRM.
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan terdapat kelewatan dalam siasatan dan memerintahkan polis menyelesaikan siasatan dalam tempoh enam bulan dari tarikh hari ini.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai tahun itu, di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat semalaman di tingkat 14, ibu pejabat SPRM Selangor di Shah Alam.
Pada masa kematiannya, Teoh adalah pembantu politik kepada Exco Selangor dan Adun DAP Seri Kembangan Ean-Yong Hian Wah.
Pada 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja memutuskan bahawa Teoh telah didorong untuk membunuh diri susulan soal siasat agresif suruhanjaya antirasuah itu.
Pada 2014, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan kematiannya disebabkan oleh perbuatan "orang atau mereka yang tidak dikenali", termasuk pegawai SPRM yang menyoalnya semalaman sebelum dia ditemui mati.

Pada Januari 2022, ibu bapa Teoh memfailkan semakan kehakiman atas dakwaan kegagalan polis menyelesaikan siasatan mereka terhadap kematiannya.
Beberapa bulan kemudian pada bulan Jun, bapa dan ibu Teoh, Teoh Leong Hwee dan Teng Shuw Hoi, mendapat kebenaran mahkamah untuk meneruskan tindakan sivil.





