Kerajaan dalam proses membatalkan pengharaman tiga buah buku yang dikaitkan dengan fahaman komunisme.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata tiga buku itu ialah Mao Zedong: China dalam Dunia Abad ke-20, Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10 dan Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah.
Setakat ini, katanya, KDN masih menunggu jawapan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Dia juga memaklumkan bahawa semua buku yang dicadangkan untuk diharamkan dan dikenakan tindakan penguatkuasaan pada masa hadapan akan diteliti oleh dia sendiri terlebih dahulu.

Perkara itu, lapor Sin Chew, bagi memastikan prosedur pengharaman dilakukan dengan lebih berhati-hati.
Saifuddin berkata, isu pengharaman buku itu telah dilaporkan dalam mesyuarat kabinet semalam.
Katanya, persetujuan dicapai untuk memperkukuh mekanisme komunikasi dengan sektor penerbitan sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.
"KDN telah mengadakan pertemuan dengan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) dan mencapai konsensus bahawa bagi mana-mana buku yang terlibat dalam senarai larangan, penerbit berkenaan akan dipanggil untuk memberikan penjelasan sebelum tindakan penguatkuasaan dijalankan."

Terdahulu, pengharaman itu itu dibantah pelbagai pihak.
Veteran politik Rais Yatim antaranya memberitahu Malaysiakini bahawa amalan mengharamkan buku tidak lagi realistik di era internet.
Anggota Parlimen Gopeng daripada PKR Tan Kar Hing pula berkata kerajaan sepatutnya menggalakkan rakyat memupuk budaya berfikir secara kritis.





