NGO hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mempertahankan tindakan keras kerajaan terhadap ucapan berbaur hasutan sehingga menyebabkan kedudukan Malaysia yang merosot dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia.
Pengarah LFL Zaid Malek dalam satu kenyataan berkata mesej Anwar, yang disampaikan semasa sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) di Kuching, Sarawak, semalam, adalah "memalukan, tidak jujur dan sama sekali tidak boleh diterima".

“Kenyataan daripada perdana menteri semasa yang menunjukkan kebongkakan.
"Ia tindak balas yang dijangkakan daripada seorang pemimpin negara tidak stabil yang korup," kata peguam itu, yang anak guamnya termasuk aktivis politik Syarul Ema Rena Abu Samah yang disiasat tahun lalu berhubung dakwaan penghinaan terhadap isteri perdana menteri.
Anwar, yang mengundang kritikan daripada badan pemantau antarabangsa Reporters Without Borders (RSF), berkata:
“Saya tak kisah, tidak mengapa jika kita diturunkan kerana kita tegas menentang perkauman dan fanatik agama.”
Zaid, bagaimanapun, menegaskan bahawa Anwar telah gagal menangani asas sebenar kritikan RSF dan sebaliknya kerap-kali bersandarkan kepada alasan 3R.

“Malah, asas sebenar laporan RSF mengenai Malaysia adalah beberapa portal berita yang mengkritik kerajaan seperti Utusan TV, TV Pertiwi, MalaysiaNow, dan yang lain telah disekat.
"Video TikTok pengkritik kerajaan juga disekat oleh MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), " kata Zaid.
“Justeru, dakwaan Anwar bahawa indeks itu jatuh kerana tindakan tegas kerajaan terhadap isu 3R adalah putar belit yang disengajakan terhadap laporan RSF,” tegasnya.
Kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia jatuh 34 anak tangga ke kedudukan ke-107 berbanding 73 tahun lepas, dengan markah 52.07 mata.
Anwar semalam berkata walaupun dia tidak berkompromi dengan pendiriannya mengenai perananan media bebas dalam demokrasi, namun satu garis sempadan mesti dibuat mengenai dakwaan cubaan untuk menghasut kebencian kaum atau sentimen terhadap institusi diraja.
Dia merujuk contoh kontroversi baru-baru ini mengenai laporan media mengenai projek kasino yang didakwa akan dibangunkan di Forest City, Johor, yang secara tidak langsung dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong.

Zaid, sebaliknya, mendakwa kritikan orang ramai sebenarnya tertumpu kepada dakwaan penglibatan perdana menteri dalam rundingan tersebut dan bukannya terhadap Seri Paduka.
“Dengan menggunakan berita Bloomberg sebagai contoh, PM mendedahkan taktik kerajaan baru-baru ini dalam menapis akhbar dan kebebasan bersuara, dengan menggunakan Raja-raja sebagai tembok perisai mudah untuk mempertahankan tindakan keras kerajaan,” dakwanya.
Sehubungan itu, Zaid menggesa kerajaan memandang serius penurunan taraf Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia dan menerima bahawa ia berpunca akibat tindakan menyekat atau menapis akhbar kritikal.
“Tidak cukup untuk mendakwa bahawa kerajaan menghormati kebebasan akhbar; mereka mesti mengambil tindakan proaktif untuk menegakkan kebebasan akhbar dengan tidak mengganggu kerja penting media, sebagai estet keempat yang menegakkan demokrasi,” katanya.





