Sepanyol mempamerkan aksi yang cukup meyakinkan apabila menewaskan juara dua kali Perancis 2-0, untuk mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium Dallas, Texas, Amerika Syarikat pada Selasa.
Sepakan penalti Mikel Oyarzabal pada babak pertama dan jaringan tenang Pedro Porro pada separuh masa kedua, memastikan kemenangan buat La Roja, yang menguasai perlawanan separuh akhir menerusi gerakan yang lancar, disiplin posisi serta penguasaan bola yang mantap.
Sepanyol, juara dunia 2010 dan juara bertahan Eropah, kini berpeluang merangkul gelaran Piala Dunia kedua di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Luis de la Fuente.
Perancis yang muncul juara dunia pada 1998 dan 2018, bergelut untuk mempamerkan corak permainan pantas berasaskan serangan balas, apabila Sepanyol mengawal rentak permainan sambil berjaya mengehadkan permainan Kylian Mbappe, Ousmane Dembele dan Bradley Barcola.

Sepanyol membuka tirai jaringan pada minit ke-22 selepas pertahanan kiri Perancis, Lucas Digne, menjatuhkan Lamine Yamal di dalam kawasan penalti, sekali gus mendorong pengadil Ivan Barton menghadiahkan sepakan penalti kepada Sepanyol.
Oyarzabal tidak mensia-siakan peluang, apabila menyempurnakan sepakan penalti dengan rembatan yang cukup deras dan tinggi dengan menewaskan penjaga gol Perancis Mike Maignan, walaupun dia berjaya menjangka arah sepakan tersebut.
Perancis sekali lagi menerima tamparan pada minit ke-30 apabila pertahanan tengah William Saliba, terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan dan digantikan oleh Maxence Lacroix.

Sepanyol terus melaksanakan peranancangan permainan dengan berkesan, menggerakkan bola dengan penuh keyakinan sambil memastikan setiap pemain berada pada kedudukan yang tepat, bagi menyediakan pilihan hantaran seterusnya.
Sebaliknya, gandingan serangan Perancis yang dibarisi Mbappe, Dembele dan Barcola hanya mencatatkan 57 sentuhan bola secara keseluruhan pada separuh masa pertama, dengan Mbappe merekodkan hanya 15 sentuhan.
Kapten Perancis itu sebelum ini mencatatkan 44 sentuhan ketika menentang Maghribi pada peringkat suku akhir dan 45 sentuhan dalam perlawanan sebelumnya berhadapan Paraguay.
Sepanyol mengukuhkan kawalan mereka ke atas perlawanan pada minit ke-58 menerusi gerakan berpasukan yang menarik, disudahkan dengan kemas oleh Porro.
Pemain pertahanan kanan itu, diberi ruang untuk mara ke hadapan sebelum dengan tenang menewaskan Maignan yang meluru keluar, sekali gus menggandakan kelebihan Sepanyol kepada 2-0.

Yamal kemudiannya dilihat seakan-akan mengesahkan kemenangan Sepanyol empat minit kemudian, apabila berjaya melepasi Digne, sebelum memotong masuk ke dalam dan melakukan rembatan lencong yang menarik ke penjuru atas gawang. Bagaimanapun, jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid, sekali gus menyaksikan kedudukan kekal 2-0 sehingga wisel penamat.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Perancis Didier Deschamps, muncul selaku pengurus yang mengendalikan paling banyak perlawanan dalam sejarah Piala Dunia, selepas membimbing pasukannya buat kali ke-26 dalam kejohanan berkenaan.
Sepanyol akan berhadapan sama ada juara bertahan Argentina atau England, pada perlawanan akhir yang dijadual berlangsung Ahad ini (19 Julai).





