30.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, August 16, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Kongres PKR: Muhasabah diri, ‘reformasi’ dan sorotan lain

    Shopee Sale

    Laungan “reformasi” bergema pada Kongres PKR di Melaka diringi oleh renungan serius oleh pemimpin parti bagi menilai kelemahan yang menyebabkan PKR mengalami beberapa kekalahan dalam pilihan raya lalu.

    Meskipun pimpinan tertinggi kekal optimis, ucapan mereka menunjukkan Perdana Menteri dan parti itu perlu melakukan perubahan dengan pantas jika tidak mahu terus mengalami kekalahan dalam pilihan raya.

    Berikut ialah sorotan daripada acara yang berlangsung selama empat hari itu.

    Parti akui kesilapan, Fahmi mohon maaf

    Selepas kekalahan teruk dalam pilihan raya di Negeri Sembilan, Johor dan Sabah, PKR tidak lagi dapat menafikan bahawa popularitinya semakin merosot berbanding pesaing politiknya, BN dan PN, yang semakin mendapat sokongan.

    Perkara itu tercermin melalui tema kongres, “Memugar Reformasi Membina Madani”.

    Naratif yang sering diketengahkan sepanjang acara ialah rakyat tidak boleh dipersalahkan atas kemerosotan sokongan. Sebaliknya, kesalahan itu perlu diletakkan ke atas parti sendiri.

    Anwar sendiri menyentuh perkara itu dengan terus terang apabila berkata PKR kalah "teruk" dalam pilihan raya Negeri Sembilan walaupun peruntukan untuk negeri itu ditambah.

    Dia menyifatkan kekalahan itu berpunca daripada kegagalan parti menyampaikan mesej dengan berkesan serta memahami kesukaran yang dihadapi akar umbi.

    Anggota dan pemimpin PKR secara umumnya mengakui parti itu perlu memperbaiki strategi komunikasinya kerana dasar yang berjaya dilaksanakan dilihat gagal sampai kepada pengundi.

    Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, mengambil tanggungjawab atas perkara itu dan tunduk memohon maaf di hadapan perwakilan ketika menyampaikan ucapan pagi tadi.

    Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata PKR perlu menyesuaikan diri dengan fenomena yang berlaku dalam pilihan raya Negeri Sembilan, iaitu “emosi mengatasi prestasi”.

    Kerajaan sememangnya berdepan kesukaran dalam strategi komunikasi, dengan Anwar sendiri mengakui masalah itu sejak 2023.

    Anwar minta maaf, tawar ‘reformasi’

    Selain mengakui kegagalan PKR dalam aspek komunikasi, Anwar mengambil pendekatan berdamai dalam ucapan pembukaannya pada Sabtu dengan mengajak bekas pimpinannya kembali kepada landasan “perjuangan” parti itu ketika sokongan terhadap PKR terus merosot.

    Ia susulan beberapa pemimpinnya meninggalkan parti, termasuk bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, yang menyertai parti serpihan PKR, Bersama.

    Dalam ucapan penggulungannya, Anwar mempertahankan pentadbirannya daripada kritikan mengenai keadaan ekonomi dan bantuan kepada rakyat.

    Dia turut membuat beberapa pengumuman dasar penting sepanjang kongres yang dilihat bertujuan meningkatkan sokongan terhadap parti.

    Antaranya ialah pengumuman bahawa kerajaan akan menunaikan janji untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

    MENARIK:  Zahid percaya pengundi Cina akan kembali sokong BN

    Perdana Menteri turut mengumumkan tambahan peruntukan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen, yang menurutnya akan disalurkan terus kepada rakyat.

    Dia dijangka membuat lebih banyak pengumuman pada Isnin sebagai persiapan menghadapi Belanjawan 2027.

    Harapan di penggal kedua

    Walaupun sokongan dilihat semakin merosot, pemimpin parti kekal optimis terhadap masa depannya dengan mengingatkan bahawa PKR pernah melalui keadaan yang lebih buruk.

    “Titik terendah kita bukan hari ini,” kata Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh semalam, merujuk pada pilihan raya umum 2004 ketika PKR hanya memperoleh satu kerusi Parlimen di Permatang Pauh dengan majoriti tipis, manakala Anwar ketika itu masih dalam penjara.

    Katanya, ketika itu ramai anggota meninggalkan parti dan meragui apakah PKR mempunyai masa depan..

    Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek, mengingatkan perwakilan bahawa PKR berjaya membuktikan keraguan terhadap parti itu adalah tidak berasas apabila anggotanya terus mempertahankan perjuangan sehingga Anwar menjadi Perdana Menteri.

    Wakil Biro Veteran, Zukri Aksah, berkata sikap keras kepala dan kesetiaan menjadi faktor yang memastikan parti terus bertahan selepas 2004. Ketahanan mereka akhirnya membuahkan hasil pada 2008 apabila Pakatan Rakyat memenangi lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat.

    Ketika sesi perbahasan semalam, Setiausaha PKR Pahang itu mengimbas pengorbanan anggota yang menyertai parti antara 1999 dan 2007, dengan mendakwa ramai kehilangan kerja, muflis atau dipulaukan keluarga.

    PKR juga terus memberikan sokongan kepada Anwar dengan harapan dia kekal sebagai Perdana Menteri pada pilihan raya akan datang.

    Fadhlina menggesa anggota PKR memastikan Anwar kekal sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua supaya parti itu dapat meneruskan agenda reformasi bagi memperbetulkan kerosakan yang menurutnya telah berlaku puluhan tahun.

    Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, yang menyampaikan ucapan “terakhir” sebelum becuti daripada jawatannya, berkata sekiranya bapanya mendapat penggal kedua, dia perlu memberi tumpuan kepada reformasi gaji.

    Perjalanan PKR menuju pilihan raya umum akan datang bukan mudah kerana parti itu perlu menangani konflik dalaman, kehilangan pemimpin berpengalaman, ketegangan yang semakin memuncak dengan rakan dalam kerajaan Persekutuan iaitu Umno, serta pengundi yang semakin kecewa.

    Satu perkara yang pasti, perjuangan PKR seterusnya ialah mempertahankan Putrajaya.

    Sehingga itu, Anwar mengarahkan parti supaya “bekerja dari sekarang dan bekerja keras” serta tidak mengambil jalan mudah.

    Laporan oleh Zarrah Morden, Zikri Kamarulzaman, B Nantha Kumar, Shakira Buang, N Faizal Ghazali

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah