DAP akan berbincang dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kabinet mengenai kebimbangan yang dibangkitkan oleh perwakilan parti berhubung dasar kerajaan dan langkah-langkah reformasi, susulan keputusan parti itu untuk kekal dalam kerajaan Persekutuan.
Bercakap pada sidang media selepas keputusan itu diumumkan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menegaskan bahawa parti itu menghormati pandangan perwakilannya dan akan terus memainkan perananan dalam kerajaan.
"Kami sebahagian daripada Kabinet dan kerajaan, (jadi) kami akan membawa maklum balas daripada perwakilan kami melalui saluran Kabinet," kata Loke pada penghujung Konvensyen Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
"Terdapat beberapa pandangan kritikal. Majoriti mengundi untuk kekal, tetapi terdapat juga pandangan kritikal yang mahu kerajaan lebih tegas," tambah Loke yang juga Menteri Pengangkutan.
Ahli Parlimen Seremban itu turut merujuk ucapan Anwar pada Kongres Nasional PKR 2026 hari ini, ketika Presiden PKR itu berkata dia bercadang mengumumkan beberapa perubahan segera yang mahu dilaksanakan kerajaan sebelum pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober.
"Perdana Menteri sendiri sudah memberikan tempoh masa - (pengumuman) pada 30 Ogos sempena Hari Merdeka, 16 September sempena Hari Malaysia dan awal Oktober.
"Saya fikir kita perlu memberi sedikit ruang kepada Perdana Menteri," kata Loke.
[Berita penuh menyusul]





