32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, August 15, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Pemansuhan Auku perlukan kerangka undang-undang baru – Pakar

    Shopee Sale

    Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu disusuli dengan penubuhan jawatankuasa peringkat tertinggi bagi meneliti kerangka undang-undang baharu yang dapat memastikan tadbir urus serta pengurusan institusi pengajian tinggi terus terpelihara.

    Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata langkah itu penting memandangkan AUKU bukan sahaja berkaitan kegiatan pelajar malah merangkumi aspek punca kuasa penubuhan universiti, pengurusan, tatakelola serta kuasa yang diberikan kepada institusi berkenaan.

    "Jawatankuasa berkenaan perlu meneliti semua peruntukan AUKU yang selama ini menjadi perdebatan, termasuk berkaitan kegiatan pelajar, bagi memastikan pemansuhan akta itu tidak menjejaskan kelancaran operasi universiti,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memansuhkan AUKU untuk memberi kebebasan serta ruang demokrasi lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini, dan perkara itu akan dibawa ke Kabinet Rabu depan.

    Selain itu, beliau melihat pemansuhan AUKU sebagai peluang untuk memperkukuh kebebasan akademik dengan memberi ruang yang lebih luas kepada warga akademik menyampaikan pandangan kepada masyarakat berdasarkan fakta, data dan kajian empirikal.

    Katanya kekangan di bawah AUKU sebelum ini menyebabkan sebahagian ahli akademik enggan terlibat dalam perbincangan awam sedangkan pandangan berasaskan kajian, data dan fakta wajar dikongsi kerana dapat memperluas kefahaman masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negara.

    “Masyarakat yang dinamik dan maju memerlukan keterbukaan terhadap perbezaan pandangan, teguran serta kritikan selagi ia berasaskan fakta, data dan kajian akademik yang boleh dipertanggungjawabkan,” katanya.

    Sementara itu, Pakar Perang Saraf merangkap Penganalisis Keselamatan dan Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin menyifatkan keterbukaan ruang bersuara untuk mahasiswa sebagai satu transformasi berfaedah bagi mempertingkat pembangunan ketamadunan dan kepimpinan generasi muda.

    "Bagus untuk mereka bersuara, bagus untuk mereka mengekalkan pendapat, berhujah... tetapi asas elemen-elemen pendidikan kenegaraan dan tamadun peradaban dalam bentuk pendidikan negara harus diselaraskan supaya kita tidak lari daripada identiti negara pada masa ini dan masa hadapan," katanya.

    Beliau berkata kebebasan itu perlu disertai dengan kefahaman kenegaraan yang kukuh berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara agar keterbukaan yang dibawa menerusi pemansuhan AUKU nanti tidak menimbulkan polarisasi yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

    "Aspirasi pemansuhan AUKU ini harus diselaraskan dengan aspirasi-aspirasi dalam elemen kenegaraan dan perpaduan dalam konteks yang sebenar kerana kita tidak mahu pelajar atau pemimpin masa depan mencipta satu keseimbangan baharu yang berlainan dengan corak identiti sebenar negara," katanya.

    MENARIK:  Kekayaan bilionair global melonjak 80 peratus sejak 2020 - Oxfam

    Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Datuk Seri Profesor Dr Noor Azuan Abu Osman berkata sebarang pembaharuan perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada aspek tertentu, dengan mengambil kira keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi serta perananan universiti dalam pembangunan mahasiswa, masyarakat dan negara.

    Beliau berkata UM bersedia memberikan kerjasama dan menyumbang pandangan serta kepakaran kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan semua pihak berkepentingan dalam proses libat urus selain pembangunan kerangka perundangan baharu ini.

    “Yang lebih utama, pembaharuan ini harus menyokong matlamat yang lebih besar, iaitu melahirkan mahasiswa dan masyarakat berilmu, matang dalam pemikiran, bertanggungjawab dalam tindakan serta mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan universiti dan negara.

    “Inilah antara asas penting dalam memastikan institusi pendidikan tinggi terus dihormati, diyakini dan berupaya melahirkan generasi yang disegani di peringkat nasional dan global,” menurutnya dalam satu kenyataan.

    Bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM Syaiful Asyraff Kamarudin berkata pemansuhan itu berpotensi menjadikan universiti bukan lagi sekadar “kilang” penghasilan graduan tetapi juga sebuah platform yang membolehkan mahasiswa berfikir secara bebas, mencabar sesuatu idea, berhujah berasaskan fakta dan berdepan pelbagai sudut pandangan berbeza.

    “Mengamati beberapa siri pindaan dan penggubalan berkaitan AUKU 1971, saya melihat wujudnya suatu transisi daripada sebuah akta yang pada asalnya cenderung kepada pendekatan kawalan kerajaan, bergerak ke arah autonomi universiti serta pemerkasaan mahasiswa.

    “Saya yakin Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri mempunyai pelan dan kerangka pengganti AUKU bagi memastikan tatakelola dan tadbir urus universiti dapat dilaksanakan dengan lebih autonomi, di samping memberi ruang kepada mahasiswa melalui MPP untuk memainkan perananan yang lebih signifikan dalam tadbir urus universiti, termasuk ke arah pembentukan student government,” katanya.

    Bagi penuntut tahun tiga jurusan Ekonomi Kewangan Universiti Sains Malaysia (USM) Nurul Husna Amanda Syukran, 23, pemansuhan AUKU berpotensi mewujudkan budaya kampus lebih terbuka namun perlu disusuli dasar yang menjamin kebebasan mahasiswa secara bertanggungjawab.

    Penuntut tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains (Geologi) USM Muhammad Irsyad Iman Muhammad Irwan, 22, pula menyifatkan perkembangan itu penting dalam memastikan mahasiswa diberikan kebebasan yang lebih luas untuk berfikir secara kritis, berorganisasi dan terlibat dalam isu berkaitan masyarakat serta pembangunan negara.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah