33 C
Kuala Lumpur
Sunday, August 16, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    RUU baru akan dibentang kekang ketirisan agensi kerajaan- Anwar

    Shopee Sale

    Kerajaan bakal membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan (SOE) dalam masa terdekat bagi memperketat tadbir urus pelaburan serta membendung ketirisan kewangan membabitkan agensi strategik seperti Lembaga Tabung Haji (TH), Felda dan Mara.

    Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata rangka undang-undang khas itu penting bagi memastikan syarikat atau agensi berkaitan kerajaan tidak lagi beroperasi sewenang-wenangnya di luar garis panduan kewangan yang ditetapkan.

    "Ini kelemahan nyata tata kelola aktiviti pelaburan maka saya akan bentangkan ke jemaah menteri dalam masa singkat state-owned enterprise, satu kaedah RUU entiti milik kerajaan supaya semua mesti ikut.

    "Jangan ingat dia agensi dia bebas... ini baru kita sebut good governance," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

    RUU SOE merupakan cadangan undang-undang khas bagi mengawal selia, memperketat tadbir urus serta meningkatkan ketelusan pengurusan kewangan syarikat dan agensi berkaitan kerajaan.

    Dalam pada itu, Anwar turut berkongsi perbualan telefon dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada sebelah pagi sebelum sesi penggulungan, yang menurutnya menzahirkan sokongan baginda terhadap usaha memperkemas institusi awam.

    Menurut Anwar, Seri Paduka Baginda menitahkan supaya siasatan dan usaha penambahbaikan tadbir urus diperluaskan kepada semua agensi yang mempunyai masalah.

    "Baginda dengar ucapan saya semalam dan saya singgung tentang perkenan Tuanku supaya disiasat Tabung Haji dan Felda.

    "Baginda sebut, selesai Tabung Haji sambung Felda dan sambung semua agensi-agensi yang ada masalah," katanya.

    Sebelum ini, Anwar menegaskan kerajaan akan terus membongkar isu berkaitan Felda selepas selesai meneliti dakwaan penyelewengan membabitkan TH.

    Katanya, perkara itu mendapat perhatian dan penekanan Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan dengan baginda baru-baru ini.

    Tambah Anwar, Sultan Ibrahim mahu siasatan terhadap isu membabitkan institusi milik rakyat tidak terhenti setakat TH.

    MENARIK:  Projek Sama cadang kuasa veto untuk Sabah, Sarawak di Dewan Negara

    “Agong pada minggu lalu maklum kepada saya, ‘Perdana menteri, jangan berakhir dengan TH sahaja, teruskan.

    “Agong (juga) tanya siapa jaga Felda sekarang. Saya jawab, saya. Maka (titah baginda) ‘selesai Tabung Haji, bongkar Felda (pula),” katanya.

    AUKU dimansuh sepenuhnya, tiada akta mengongkong

    Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 akan dimansuhkan sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.

    Dia turut menangkis kebimbangan bahawa pemansuhan Aauku akan disusuli undang-undang baru yang terus mengekang kebebasan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT).

    "Saya nak umumkan sekarang... kita dah setuju tentang pemansuhan Auku. Saya nak jelaskan saya tak mahu pinda. Auku wajib dimansuhkan sepenuhnya.

    "Saya tidak akan benarkan mana-mana peraturan atau undang-undang mengongkong. Mahasiswa sebagai rakyat biasa ada undang-undang jenayah, ada undang-undang dan memang terpakai itu semua," katanya.

    Anwar berkata dia tidak bersetuju dengan sebarang pindaan atau akta gantian yang mengehadkan aktiviti serta hak bersuara mahasiswa.

    Katanya, perkara itu akan ditegaskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

    Sebelum ini, terdapat cadangan supaya pemansuhan Auku disusuli penubuhan jawatankuasa peringkat tertinggi bagi meneliti kerangka undang-undang baru untuk memastikan tadbir urus dan pengurusan IPT terus terpelihara.

    Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata langkah itu penting kerana Auku bukan hanya berkaitan kegiatan pelajar, malah merangkumi aspek punca kuasa penubuhan universiti, pengurusan, tadbir urus serta kuasa yang diberikan kepada institusi berkenaan.

    "Jawatankuasa berkenaan perlu meneliti semua peruntukan Auku yang selama ini menjadi perdebatan, termasuk berkaitan kegiatan pelajar, bagi memastikan pemansuhan akta itu tidak menjejaskan kelancaran operasi universiti,” katanya kepada Bernama sebelum ini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah