Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Syarikat Nepturis Sdn Bhd memperoleh projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Selangor dengan kos bernilai RM141 juta.
Pengarah dan Senior Executive Procurement Nepturis Sdn Bhd Aliza Abd Malek, 47, berkata syarikatnya menerima e-mel pada 26 Mac 2021 daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), berkenaan Penilai Jana Wibawa-Penilaian Pra-Kelayakan untuk projek Jana Wibawa.
“Saya hanya tahu projek ini projek Jana Wibawa melalui e-mel berkenaan. Saya mengesahkan memaklumkan kepada Rizman (Mohd Rizman Akum Khan) dan TC Lian (Lian Tian Chian) berkenaan perkara ini. Selepas itu, saya memakluman kepada staf untuk menguruskan dokumentasi yang diperlukan untuk dihantar kepada pihak MOF.
“Saya menyerahkan kepada runner syarikat Nepturis untuk menyerahkan dokumen-dokumen prakelayakan tersebut kepada MOF di bahagian kaunter, untuk tujuan penyerahan mengikut tarikh dan waktu yang ditetapkan,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes Muhyiddin Yassin, yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.
Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata melalui pemakluman itu juga, Nepturis diminta untuk menghantar dokumen tender berkenaan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung projek itu.
“Saya mengesahkan JKR mengeluarkan surat niat bagi projek IPD Klang Utara pada 10 Dis 2021 dan selang beberapa hari, saya menandatangani persetujuan dengan harga yang ditawarkan oleh JKR. Saya sahkan juga Surat Setuju Terima dikeluarkan oleh JKR pada 12 Jan 2022,” katanya.
Aliza turut mengesahkan sejak Nepturis memperoleh projek itu, terdapat bayaran yang dibuat kepada subkontraktor yang diuruskan dia melalui cek-cek syarikat yang ditandatanganinya atau Rizman yang juga pengarah syarikat dan pemegang saham Nepturis, atau melalui pindahan wang yang dibuat oleh bahagian kewangan Nepturis.
Saksi itu berkata sebelum ini dia diarahkan TC Lian untuk menyediakan surat yang ditujukan kepada Perdana Menteri yang ketika itu adalah Muhyiddin, berhubung Projek Jana Wibawa.
“Saya diminta oleh TC Lian untuk menyediakan surat ‘Memohon untuk melaksanakan’ bagi projek Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor, yang disediakan oleh saya pada Februari 2021 dan projek Projek Central Spine Road: Sertik ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur disediakan pada 4 Mac 2021. Tajuk bagi kedua-dua surat ini diberikan oleh TC Lian sendiri.
“Saya mengesahkan saya tidak tahu surat ini diserahkan kepada siapa atau dengan siapa TC Lian berurusan bagi menyerahkan surat tersebut. TC Lian tidak pernah memberitahu atau menceritakan kepada saya, dengan siapa dia berurusan atau berhubung berkenaan permohonan itu,” katanya.
Aliza berkata dia turut diarahkan oleh TC Lian, untuk menyediakan surat sama bagi empat syarikat iaitu Permata Rebana Sdn Bhd, Fastcoll Corporation Sdn Bhd, JM Letrik Sdn Bhd dan MZ Hakujaya Sdn Bhd bagi projek pembinaan IPD Klang Utara dan keempat-empat syarikat itu merupakan rakan perniagaan TC Lian.
Dia turut bersetuju dengan cadangan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin, bahawa surat minat itu disediakan oleh saksi itu atas arahan TC Lian.
Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat sama ada saksi itu mengetahui surat minat perlu dihantar kepada Perdana Menteri (Muhyiddin) dan Aliza menjawab, bagi pengetahuan dia, ia untuk mendapatkan surat sokongan daripada Perdana Menteri yang ketika itu Muhyiddin.
Saksi itu berkata berdasarkan pemahamannya, surat minat adalah surat sokongan bagi projek-projek tersebut.
Aliza berkata pada tahun 2018 dia dan Mohd Rizman mengambil alih syarikat Nepturis yang dimiliki TC Lian, serta dilantik sebagai pengarah syarikat dan pemegang saham sebanyak 50 peratus bagi setiap seorang dalam syarikat tersebut.
“Walaupun TC Lian tiada nama di dalam syarikat Nepturis tetapi saya, Rizman dan TC Lian masing-masing mengetahui bahawa TC Lian mempunyai pegangan saham sebanyak 30 peratus dalam Nepturis. Ini kerana segala modal syarikat ini hasil suntikan modal daripada syarikat TC Lian iaitu Metrasys Sdn Bhd. Jadi segala pengoperasian dan operasi syarikat, saya dan Rizman mesti berbincang dengan TC Lian, untuk mendapatkan persetujuan bersama,” katanya.
Saksi itu berkata tujuan TC Lian meminta dia dan Mohd Rizman, mengambil alih syarikat itu adalah untuk mereka menumpukan kepada perniagaan dalam bidang kerja-kerja pembinaan dan mendapatkan lesen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), bagi mendapatkan kontrak pembinaan kerajaan.
Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian merupakan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan cuatro pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Anggota parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.





