29 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 9, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Piala Dunia selepas Trump memadam kad merah Balogun

    Shopee Sale

    ULASAN SUKAN | Ada berbaki lapan perlawanan lagi untuk ditonton para peminat bola sepak sebelum tirai Piala Dunia dilabuhkan pada 19 Julai ini.

    Rasa macam pantas sangat waktu berlalu. Kini, peringkat suku akhir sudah menyusul dan debaran kian terasa. Siapa empat pasukan bakal mara ke separuh akhir?

    Adakah ia pentas yang terhidang untuk bintang dunia seperti Lionel Messi, Kylian Mbappe, Erling Haaland, Lamine Yamal atau Harry Kane, umpamanya, memperagakan kelibat terbaik bagi meningkatkan reputasi masing-masing.

    Namun, sehingga perlawanan kelompok lapan terakhir ini bermula, bicara panas masih terarah kepada dua isu kontroversi.

    Pertama, layangan kad merah ke atas pemain penyerang AS, Folarin Balogun, dan kedua, keputusan perlawanan di antara Argentina dan Mesir.

    Anehnya, hukuman yang dikenakan ke atas Balogun ketika perlawanan antara AS menentang Bosnia-Herzegovina ditarik balik oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) gara-gara campurtangan terus oleh Presiden AS, Donald Trump.

    Ini untuk membolehkan penyerang utama pasukan AS bermain menentang Belgium dalam saingan 16 terakhir. Apa pun, ‘kuasa Trump’ tidak membantu selepas tuan rumah itu dibelasah 1-4 oleh lawan dari Eropah itu.

    Begitu juga perlawanan pusingan ke-16 di antara juara bertahan, Argentina, bertemu Mesir yang turut mencetuskan kontroversi mengenai mutu pengadilan dan isu faktor luar padang yang mempengaruhi keputusan perlawanan.

    Mengubah nasib pasukan

    Mesir membuat kejutan apabila mendahului 2-0 tapi skuad La Albiceleste itu membuat kebangkitan dramatik pada 12 minit terakhir permainan untuk menang 3-2.

    Penulis tidak perlu memanjangkan lagi cerita berhubung isu berkenaan. Memang sudah ada pelbagai perdebatan di media sosial, termasuk mempertikaikan gelagat pemimpin Fifa dan topik ini masih berterusan.

    Peminat bola sepak di Malaysia pun sudah melihat dan mengikuti perkembangan itu menerusi pelbagai platform atau portal berita.

    Berbalik kepada cerita saingan suku akhir.

    Argentina dan Perancis - dua finalis edisi 2022 di Qatar - dilabel pasukan pilihan untuk mengorak langkah bagi mengulangi pencapaian empat tahun lalu.

    Skuad yang dipimpinan Messi akan menentang Switzerland pada awal pagi Ahad manakala Mbappe dan rakan-rakannya akan melayan taktikal wakil tunggal Afrika, Maghribi pada awal pagi Jumaat.

    Kelibat kedua-dua ayam tambatan itu menjadi pertaruhan terbesar pasukan bagi merencanakan kemenangan. Ringkasnya, sentuhan kedua-dua pemain legenda ini boleh mengubah nasib pasukan dalam situasi tertekan.

    Kita melihat bagaimana Messi hadir menjaringkan gol penting ketika menentang Cape Verde dan Mesir. Lebih penting, rakan sepasukan banyak membantu ikon itu bergerak dan mencari ruang jaringan. Pemain lain mengerti apa yang dimahukan oleh kapten mereka.

    Mbappe pula kerap mengucar-kacirkan benteng lawan jika berada dalam situasi baik menjana serangan. Dia gemar membuat rembatan jarak jauh dan benteng Maghribi boleh terpedaya jika hilang fokus menjejak langkahnya.

    Perancis juga mempunyai jentera serangan paling berbisa dalam kejohanan. Selain Mbappe, penyudahan dan bantuan daripada Ousmane Dembele dan Michale Olise akan sentiasa mengiringi cabaran pasukan.

    Elemen kekuatan menyeluruh sepasukan serta pengalaman dijangka membantu kemaraan Argentina dan Perancis. Lawan mereka, Switzerland dan Maghribi, pula memerlukan sesuatu muslihat bagi menumbangkan juara dan bekas juara dunia itu.

    Penulis juga memilih Sepanyol mampu layak ke separuh akhir apabila berdepan ancaman Belgium pada awal pagi Sabtu ini.

    MENARIK:  Gempa bumi berukuran 5.8 magnitud gegar Timur Indonesia

    Peluang Yamal menyinar

    Berbanding Argentina dan Perancis yang sudah membuktikan kemampuan masing-masing, juara Eropah itu masih agak menyepi di sebalik memenangi semua perlawanan mereka tanpa dibolosi sebarang gol setakat ini.

    Kejayaan itu mungkin juga disumbangkan oleh ayam tambatan pasukan La Roja, Yamal, yang hadir di kejohanan dengan menanggung kecederaan bahagian hamstring. Dia cuma menjaringkan satu gol.

    Namun, Sepanyol bernasib baik apabila restasi Mikel Oyarzabal berada pada tahap terbaik ketika ini untuk mengisi tempat Yamal. Dia sudah pun mengumpul empat jaringan setakat ini selepas menjaringkan dua gol ketika menentang Arab Saudi dan Austria.

    Apakah Yamal akan bangkit menyerlah pada pentas suku akhir ini?

    Ada juga beberapa penyerang ternama pernah bergelut pada peringkat awal kejohanan tapi menyengat selepas itu.

    Penulis masih ingat bagaimana penyerang Itali, Paolo Rossi, muncul sebagai bintang baru semas aPiala Dunia 1982 di Sepanyol. Dia kebuntuan pada empat perlawanan pertama dan berdepan kecaman media.

    Namun, kembali Rossi bernyawa dalam perlawanan kalah mati dengan enam gol sambil mengetuai kejayaan Itali muncul juara buat pertama kali selepas 44 tahun.

    Rossi meledakkan jaringan hatrik dalam suku akhir ketika mengejutkan pasukan pilihan, Brazil, 3-2. Dalam separuh akhir menentang Poland pula dia menyumbat dua gol untuk kemenangan 2-0 sebelum menyumbang satu lagi dalam final menewaskan Jerman 3-1.

    Mungkin Yamal pun boleh menempuh detik seumpma itu nanti. Elemen tuah juga amat diperlukan.

    Sambil itu, jangan pandang rendah pula kemampaun Norway dan Switzerland. Kemunculan mereka amat mengejutkan penonton global.

    Hadiah lumayan menanti

    Norway melakar sejarah untuk layak ke suku akhir buat pertama kali manakala Switzerland menamatkan kemarau panjang 72 tahun untuk kembali beraksi dalam saingan peringkat ini sejak 1954.

    Sudah tentu Haaland adalah nadi pasukannya. Penyerang tinggi lampai itu sudah menjaringkan tujuh gol dalam empat perlawanan setakat ini, iaitu menentang Iraq (dua), Senegal (dua), Ivory Coast (satu) dan lebih manis, dua jaringannya yang menghampakan Brazil.

    Sambil itu, lawan mereka, England, difahamkan boleh memberikan saingan sengit nanti. Jude Bellingham yang sudah menjaringkan empat gol dan kapten pasukan, Harry Kane (enam) dijangka akan terus menjadi ancaman besar lawan bergelar Viking itu.

    Penulis memilih skuad The Three Lions itu untuk melepasi halangan sukar ini. Persembahan sepasukan ketika menewaskan Mexico 3-2 dalam saingan dramatik pada pusingan ke-16, sekadar memberikan gambaran positif ke arah itu.

    Saingan suku akhir kali ini mungkin antara yang terbaik bakal disaksikan.

    Tambahan pula ganjaran hadiah wang keseluruhan berjumlah AS$871 juta diumumkan Fifa baru-baru ini harus menambahkan selera setiap pasukan memburu kedudukan terbaik.

    Juara pada edisi kali ini bakal pulang dengan AS$50 juta manakala naib juara akan menerima AS$33 juta.

    Nilai bagi pasukan tempat ketiga juga agak lumayan iaitu AS$29 manakala tempat keempat bakal memperoleh AS$27.

    Bagi penonton global, mereka mahukan perlawanan yang bermutu dan menghiburkan. Lebih tepat, mereka mahu magis Piala Dunia sentiasa berkekalan.

    Harap Fifa memenuhi harapan komuniti bola sepak global itu.


    V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah