31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 9, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Trump: Saya sasaran utama dibunuh Iran, tukar Air Force One

    Shopee Sale

    Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mempertahankan cara dia mengendalikan peranang Iran dalam satu sidang akhbar pada Rabu selepas sidang kemuncak Nato, dan mengulangi kenyataan terdahulu bahawa dia merupakan sasaran Teheran.

    "Mereka ada pemimpin, mereka sudah mati... Kini mereka ada barisan pemimpin lain. Mereka mungkin akan mati juga," kata Trump kepada wartawan di Ankara.

    "Dan kamu tahu, saya juga mungkin akan tiada, kerana saya adalah sasaran nombor satu mereka."

    Trump sebelum ini berkata dia meninggalkan Turkiye menaiki pesawat Air Force One yang lama berbanding jet sumbangan Qatar yang baru diubah suai, satu pertukaran mengejut yang kembali mencetuskan penelitian terhadap kerja pengubahsuaian yang mahal dan dipercepatkan itu.

    Reuters melaporkan rencana perjalanan ke Turkiye, yang merupakan penerbangan antarabangsa pertama bagi pesawat baharu itu, berlaku ketika permusuhan semakin memuncak dengan Iran, sebuah negara yang bersempadan dengan Turkiye.

    Pertukaran itu menyusul selepas berbulan-bulan penelitian dibuat ke atas hadiah mewah tersebut, yang bertujuan untuk menjadi pengganti sementara ketika Boeing bergelut untuk menyerahkan pesawat Air Force One generasi seterusnya yang lama tertangguh.

    Pesawat lama

    Pihak pengkritik mempersoalkan kos, keselamatan dan kepantasan kerja pengubahsuaian berkenaan.

    Trump berkata di Truth Social bahawa dia akan menggunakan pesawat Air Force One yang lama "demi mengimbau kenangan lalu" untuk terbang ke RAF Mildenhall di Britain, manakala pesawat baharu itu akan singgah di pangkalan sama supaya anggota tentera Amerika Syarikat yang ditempatkan di sana dapat meninjau pesawat berkenaan.

    Pesawat baharu itu merupakan sebuah Boeing 747 yang dihadiahkan kepada AS oleh Qatar tahun lepas dan diubah suai oleh kontraktor pertahanan L3Harris Technologies.

    Trump, ketika ditanya sama ada ancaman pembunuhan mendorong keputusannya untuk menukar pesawat bagi keberangkatannya dari Turkiye, tidak menjawab secara langsung tetapi mengakui potensi ancaman tersebut.

    "Saya berada di kedudukan nombor satu dalam senarai bunuh Iran," katanya kepada wartawan pada satu sidang akhbar ketika sidang kemuncak itu berakhir.

    "Saya tidak tahu. Saya tidak boleh beritahu kamu tentang perkara itu tetapi saya tidak begitu peduli."

    MENARIK:  Duta baru - Boikot jejaskan rakyat Malaysia, bukan AS, Israel

    Belanja lebih AS$1 bilion

    Trump berkata pesawat itu akan menuju ke dua atau tiga pangkalan besar di Eropah sebelum kembali ke AS "supaya tentera dapat meninjaunya kerana ia benar-benar hebat."

    Pesawat reka bentuk jumbo itu dicat dengan warna merah, putih, biru tua dan emas yang dipilih oleh Trump, menandakan kelainan daripada reka bentuk sedia ada yang digunakan pada Air Force One sejak berdekad-dekad lalu.

    Penerimaan jet Qatar itu menarik perhatian ramai. Kerja mengubah suai pesawat mewah berkenaan memerlukan peningkatan keselamatan, penambahbaikan sistem komunikasi bagi mengelakkan risikan, dan keupayaan pertahanan peluru berpandu, kata pakar.

    Ahli parlimen daripada parti Demokrat menganggarkan kos penukaran itu menelan belanja lebih AS$1 bilion dan meningkatkan risiko keselamatan.

    Peningkatan itu disiapkan dengan begitu cepat sehinggakan beberapa pakar menyatakan kebimbangan bahawa pesawat tersebut mungkin tidak begitu selamat berbanding pesawat Air Force One yang sedia ada.

    Lewat empat tahun

    Pesawat kedua yang boleh beroperasi sebagai Air Force One sentiasa berada dalam mod bersedia semasa perjalanan presiden.

    Usaha pantas Tentera Udara untuk menyediakan jet itu mengetepikan beberapa pengubahsuaian yang pada asalnya dirancang untuk pesawat presiden generasi seterusnya demi menyerahkan versi interim dengan lebih cepat.

    Pegawai menyatakan bahawa pesawat itu masih memenuhi piawaian presiden, dengan Setiausaha Tentera Udara Troy Meink berkata pihak perkhidmatan "menilai setiap keperluan dengan teliti" ketika berusaha mempercepatkan penyerahan.

    Jet Qatar itu berfungsi sebagai pesawat peranantara sementara Boeing berusaha untuk menyerahkan dua pesawat 747-8 yang dibina khas di bawah kontrak harga tetap AS$3.9 bilion yang ditandatangani pada 2018.

    Program itu kini lewat empat tahun daripada jadual, dengan penyerahan tidak dijangka sehingga pertengahan 2028, kelewatan yang boleh menyebabkan Trump tidak mempunyai pesawat baharu buatan AS sebelum tempoh jawatannya berakhir pada Januari 2029.

    Kos bagi program Boeing telah meningkat kepada lebih AS$5 bilion, dengan syarikat itu mencatatkan caj berbilion-bilion dolar yang terikat dengan projek berkenaan.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah