30.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 9, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    LRT3: Kisah mereka yang tak lagi memandu ke pejabat

    Shopee Sale

    Bermula dengan keluhan suri rumah yang risau suami kerap pulang lewat akibat kesesakan lalu lintas, tercetuslah idea pembinaan Laluan LRT3 Shah Alam oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

    Apabila laluan itu mula beroperasi, impaknya bukan sekadar dapat dilihat pada jajaran rel dan stesen baru.

    Bagi ramai pengguna, LRT3 mengubah rutin harian yang selama ini dipenuhi perjalanan panjang, kesesakan jalan raya dan kos pengangkutan yang tinggi.

    Bagi ribuan pengguna yang melalui laluan itu setiap hari, LRT3 bukan sekadar sebuah projek pengangkutan awam.

    Ia mengubah cara mereka merancang perjalanan, menguruskan perbelanjaan dan membahagikan masa.

    Setiap pengguna mempunyai sebab yang berbeza untuk memilih menaiki LRT3. 

    Ada yang menghargai penjimatan kos perjalanan ke tempat kerja, ada yang menikmati akses lebih mudah ke kampus, dan ada juga yang rela meluangkan sedikit masa tambahan demi perjalanan yang lebih tenang.

    Apa yang bermula daripada satu keluhan mengenai kesesakan lalu lintas akhirnya berkembang menjadi sebuah rangkaian rel yang bukan sahaja menghubungkan Kuala Lumpur dan Shah Alam, malah menyentuh kehidupan ribuan rakyat yang bergantung kepada pengangkutan awam setiap hari.

    LRT3 bukan sekadar menghubungkan destinasi. 

    Bagi ramai pengguna, ia mengembalikan masa yang sebelum ini hilang di atas jalan raya, mengurangkan beban perbelanjaan dan menjadikan perjalanan harian lebih mudah, tenang serta bermakna.

    Malaysiakini menyorot pengalaman pengguna yang sebelum ini terpaksa bersesak-sesak memandu ke tempat kerja.

    Jimat masa, jimat kos

    Bagi Noor Bayizura Bahrin (gambar paling atas), 32, perubahan paling ketara bukan hanya pada masa perjalanan, malah pada jumlah wang yang tidak lagi perlu dibelanjakan setiap bulan untuk berulang-alik ke tempat kerja.

    Sejak mula bekerja sebagai eksekutif jualan dalaman di Kuala Lumpur pada 2020, perjalanan hariannya bukan sesuatu yang mudah. 

    Pada mulanya, dia menggunakan perkhidmatan Komuter dari Pelabuhan Klang.

    Namun, kelewatan tren yang kerap berlaku memaksanya mencari alternatif lain. 

    Pilihannya ialah memandu ke Subang Jaya sebelum menyambung perjalanan menggunakan LRT ke KL Sentral.

    Rutin itu berlarutan selama beberapa tahun. Setiap hari dia perlu membayar minyak, tol, parkir dan tambang LRT hanya untuk sampai ke pejabat yang terletak berhampiran KL Sentral.

    Dalam tempoh sebulan, kos perjalanan boleh mencecah antara RM600 hingga RM700.

    Namun, semuanya berubah apabila Laluan LRT3 mula beroperasi.

    "Sejak LRT3 sudah siap, saya cuma meletak kenderaan dekat stesen Johan Setia.

    "Perbelanjaan sebulan mungkin dalam RM150 hingga RM200 sahaja sebab tak perlu bayar parkir dan tol. Cuma minyak petrol dan tambang LRT sahaja," katanya.

    Menurut Noor Bayizura, sebelum ini dia membelanjakan kira-kira RM350 untuk minyak, RM100 bagi tol, RM190 untuk parkir kereta dan RM50 bagi tambang LRT setiap bulan.

    Penjimatan itu bukan sahaja mengurangkan perbelanjaan bulanan, malah memberi ruang untuk menikmati masa lebih bersama keluarga.

    Masa yang sebelum ini banyak dihabiskan di atas jalan raya kini dapat dimanfaatkan dengan lebih baik. Perubahan itu turut dirasai keluarganya.

    MENARIK:  Polis rakam keterangan, bawa anak Abuya ke lokasi dakwa dikurung

    "Suami saya gembira sebab saya sudah tidak penat nak redah jalan sesak. Sudah jimat banyak.

    "Penyelenggaran kereta selepas ini boleh servis enam bulan sekali. Selalu perlu servis setiap tiga bulan sebab perjalanan yang jauh," katanya.

    Bagi Noor Bayizura, penjimatan itu bukan sekadar mengurangkan perbelanjaan bulanan, malah mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan yang sebelum ini perlu diservis lebih kerap akibat penggunaan harian.

    Akses lebih mudah ke kampus

    Bagi pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Adrina Fatin Deazeera Mysara Ahmad Azmil, 24, manfaat LRT3 pula hadir dalam bentuk akses yang lebih mudah ke kampus.

    Sebelum ini, walaupun rumah keluarganya berhampiran stesen LRT di kawasan lain, ketiadaan rangkaian pengangkutan awam yang sesuai di Shah Alam memaksanya menyewa berhampiran kampus.

    Malah, untuk ke universiti dia masih perlu bergantung kepada perkhidmatan e-hailing, sekali gus menambah perbelanjaan sebagai seorang mahasiswi.

    Kini, dengan adanya stesen LRT di dalam kawasan UiTM Shah Alam, perjalanan menjadi lebih mudah dan lebih menjimatkan.

    "Bila ada LRT stesen UiTM Shah Alam dan jejantas yang memberi laluan terus masuk ke dalam kampus, ia memang memudahkan kehidupan pelajar.

    "Kami lebih senang untuk keluar buat tugasan, ke terminal bas atau lapangan terbang kerana sudah ada pengangkutan awam yang dekat," katanya.

    Menurut Adrina, kemudahan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar yang tinggal di luar kampus, malah kepada mereka yang menetap di kolej kediaman kerana kini mempunyai akses pengangkutan awam yang lebih baik.

    Katanya, pelajar juga lebih mudah bergerak ke pusat bandar, pulang ke kampung atau menguruskan pelbagai urusan harian tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan e-hailing.

    Lebih santai, kurang stres

    Bagi Hakim Lokman, 31, yang bekerja sebagai pentadbir dan logistik di Phileo Damansara, LRT3 menawarkan pengalaman perjalanan yang jauh lebih santai walaupun mengambil masa lebih lama berbanding menunggang motosikal.

    Setiap hari, dia menaiki LRT3 dari stesen Johan Setia ke stesen Bandar Utama sebelum bertukar ke MRT menuju stesen Phileo Damansara untuk ke tempat kerja.

    Perjalanan dari pintu rumah ke pintu pejabat mengambil masa kira-kira dua jam 10 minit.

    "Saya boleh ke stesen dengan santai, tak perlu tergesa-gesa, sempat singgah ke tandas dan beli sarapan dulu," katanya.

    Sebagai perbandingan, perjalanan menggunakan motosikal hanya mengambil masa sekitar satu jam 20 minit.

    Namun, bagi Hakim, masa yang lebih panjang bukanlah pengorbanan yang besar jika dibandingkan dengan ketenangan yang diperoleh sepanjang perjalanan.

    "Kalau naik LRT, saya perlu bangun dan bersiap kira-kira sejam setengah lebih awal, termasuk masa perjalanan untuk sampai ke rumah,"

    "Tapi memang lebih relaks dan kurang stres,” ucapnya.

    Baginya, perjalanan menggunakan pengangkutan awam memberi ruang untuk memulakan hari dengan lebih tenang tanpa perlu mengharungi kesesakan jalan raya atau keletihan menunggang motosikal setiap hari.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah