Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata meskipun Kerajaan Persekutuan tidak terlibat secara langsung dalam isu berkaitan kedudukan pemerintahan Negeri Sembilan, kemuliaan institusi diraja mesti kekal dipertahankan dan perlu melalui setiap kaedah serta peraturannya.
“Jadi kita sebagai Kerajaan Persekutuan walaupun tidak terlibat secara langsung, harus memberikan nasihat terutamanya (mengenai) orang Melayu dan rakyat Malaysia, sistem Raja ini bukan saja namanya tetapi kemuliaannya dan beberapa kaedah serta peraturannya sebab itu bagi kita tetap pertahankan kedudukan dan kemuliaan dan kedaulatan Raja.
“Kalau kita ikut sekarang susur galur setakat ini, kita tetap bekerja dan mengiktiraf kedudukan Yang Dipertuan Negeri Sembilan Tuanku Muhriz.

"(Saya) mohon supaya apa-apa pandangan yang lain dibuat mengikut jalur yang sah mengikut perlembagaan tanpa menimbulkan keresahan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti Puchong dekat Putrajaya hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian mengulas laporan media mengenai pertabalan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 oleh Undang Yang Empat dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka hari ini.
Mengakui perkembangan di Negeri Sembilan sebagai sesuatu yang menggusarkan, Anwar berkata beliau tidak menafikan hak mana-mana pihak menggunakan saluran undang-undang dan perlembagaan negeri untuk mengemukakan pandangan, namun tindakan itu perlu disokong dengan hujah yang kukuh.
“Menggugurkan atau memakzulkan mana-mana raja akan memberikan implikasi yang sangat besar bagi negara dan keamanan negara sebab itu kita pandang berat dan saya juga telah menyampaikan pandangan ini kepada pihak berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menyokong tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang memutuskan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi mendapatkan mandat rakyat dalam menyelesaikan kemelut tersebut.
“Saya menyokong penuh tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan mengatakan oleh kerana simpang siur yang tidak tentu arah ini sebaiknya diadakan pilihan raya dan Tuanku juga telah perkenan.
“Jadi bagi kita, jalan terus, kita masih bersama dengan Tuanku Muhriz selaku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan jalur lain kalau dibuat mengikut jalur, kita tidak menghalang,” katanya.
Semalam, Aminuddin berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, yang mempunyai 36 kerusi, secara rasmi dibubarkan hari ini untuk memberi laluan kepada PRN ke-16.





