KOLUM | Rasanya semua pihak, khusus rakyat Negeri Sembilan terkejut dengan tindak tanduk segelintir pembesar adat yang berkumpul di Balai Rasmi Tengku Besar Tampin pada pagi 5 Jun 2026.
Melihat kepada ‘tokoh-tokoh’ yang hadir di situ adalah jelas langkah luar biasa ini dilakukan oleh sepihak yang berkepentingan. Ia dilakukan pada hari Jumaat.
Usaha untuk melengserkan Yamtuan Besar Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, yang telah dimasyhurkan sejak pada tahun 2008 tanpa sebab munasabah adalah jelas menyalahi akal, menyalahi undang-undang dan menyalahi adat.
Dari segi adat, Ibu Soko yang mempunyai suara besar dalam Adat Perpatih telah pun sebulat suara menolak tindak-tanduk Undang. Dalam hal ini misalnya susulan pesaka mantan Undang Luak Sungei Ujong, Mubarak Thahak Datuk Klana Petra sudah pun dilucutkan oleh Yang Mulia Telaga Undang, Sarifah Norzaidah Al-Qadri selaku Ibu Soko.
Pemberhentian tersebut dibuat mengikut adat Luak Sungei Ujong selaras dengan Fasal 14(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. Malah Sarifah Norzaidah menyatakan Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Anak-anak Waris Klana Hulu telah pun menjunjung kasih terhadap nasihat yang diberikan oleh anggota-anggota Dewan yang bersidang.
Nasihat Dewan tersebut sejajar dengan Fasal 16 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 dan ia selaras dengan adat Sungei Ujong berkenaan hal pemberhentian Undang Luak yang terangkum dalam Fasal 14 (3) UUTKNS 1959.
Benarkah tokoh-tokoh sebuah parti ini tidak mengetahui batas kuasa Ibu Soko?
Ingkar undang-undang adat
Saya ragu mereka tidak mengetahuinya. Dalam Syarahan Negeri Sembilan yang dilakukan pada 2011 untuk kali kelima, Mohamad Hasan yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan telah menulis prakata untuk syarahan bertajuk ‘Peranan Ibu Soko Dalam Adat Perpatih di Negeri Sembilan’. Syarahan ini kemudian diterbitkan oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan.
Dalam syarahan yang diberikan oleh arwah Dr Mohd Rosli Saludin itu, beliau telah pun menjelaskan yang Ibu Soko mempunyai kuasa veto, termasuk dalam hal politik. Ini sesuai dengan Adat Perpatih yang merupakan undang-undang yang melebihkan posisi kaum wanita. Dr Rosli Saludin menulis begini:
“Kedudukan mereka di belakang tabir bukannya hanya setakat mendengar, tetapi menjadi penentu dalam mencapai keputusan. Mereka boleh menyatakan ketidakpuasan hati sama ada dalam aspek ekonomi, sosial atau politik. Wanita adat juga mempunyai suara yang sama dengan lelaki, walaupun dalam perkampungan, mereka berada di bahagian dalam. Selain itu, segala sesuatu yang akan diputuskan dan dilaksanakan harus mendapat persetujuan daripada pihak wanita. Hal ini jelas menunjukkan bahawa wanita terutama 'Ibu Soko' mempunyai kuasa veto dalam semua perkara yang berkaitan dengan perjalanan kehidupan anggota masyarakat sebagai unit kelompok kekeluargaan.”
Saya mengulang sekali lagi, syarahan ini didukung oleh Mohamad Hasan yang ketika itu adalah Menteri Besar Negeri Sembilan. Beliau menyatakan dalam pengenalan syarahan itu ‘nilai yang ada’ pada Adat Perpatih ‘boleh membentuk perpaduan yang mampan’. Seterusnya beliau mengatakan, ‘mari kita amalkan musyawarah, muafakat dan budi yang terdapat dalam Adat Perpatih’. Entah ke mana perpaduan, musyawarah, muakafat dan budi yang disebut itu.

Apa yang terjadi di Balai Rasmi Tengku Besar Tampin pada 5 Jun 2026 adalah sesuatu yang mengingkari Undang-undang Adat itu sendiri. Saya percaya ramai rakyat Negeri Sembilan terkejut dengan kejadian tersebut. Malah sedang memperhatikan tindak-tanduk parti serta pembesar adat yang melanggar perbilangan dan ketentuan adat.
Tujuh tegahan
Dalam Adat Perpatih, pembesar adat tidak boleh melakukan tujuh perkara. Tegahan ini sangat bermakna. Tujuh tegahan itu adalah:
Pertama, tidak boleh memerahkan muka atau cepat meruok marah.
Kedua, tidak boleh menghentam tanah yang bermaksud tidak boleh bercakap dengan suara yang keras dan menggunakan isyarat-isyarat yang menggertak, seperti menghentak kaki, menunjukkan buku lima, menumbuk meja dan sebagainya. Ini kerana tindakan ini menunjukkan sikap yang biadab, menunjukkan kedegilan - dia sahaja yang betul, orang lain semuanya bodoh dan salah. Sikap ini bertentangan dengan prinsip muafakat dalam adat.
Ketiga, pemimpin adat tidak boleh sama sekali menyinsing lengan baju.
Keempat, tidak boleh berlari-lari tangga yang menunjukkan peranangai ketergesaan yang boleh membawa kepada kecuaian.
Kelima, pembesar adat khusus Undang dan Dato Lembaga tidak boleh menjunjung sesuatu di atas kepala.
Keenam, mereka tidak boleh mengangkat barang dengan mengandar.
Dan terakhir, mereka tidak boleh berbual-bual di bawah anjung atau serambi rumah. Perkara ini untuk memelihara kemuliaan pemimpin adat supaya tidak bercampur dengan juak, balaci, dan orang yang hina di mana hari ini wujud dalam bentuk manusia seperti scammer, pempengaruh, artis galak, kaki gosip, lasykar siber dan sebagainya.
Apa yang terjadi di Tampin pada pagi 5 Jun 2026 adalah melanggar ketujuh-tujuh tegahan di atas dan meletakkan pembesar adat yang ikut berhimpun di situ dalam keadaan memalukan. Bukan itu sahaja, para pembesar Ibu Soko yang telah melakukan veto lebih awal, harus berhimpun bersama pembesar adat yang lain iaitu yang waras untuk menentukan apakah kejadian tersebut telah melangkaui Undang-Undang Nan Lapan.
Dalam Adat Perpatih, Undang-Undang Nan Lapan adalah pengertian konsep jenayah. Lapan perkara jahat itu adalah tikam bunuh (membunuh); sumbang salah (berzina); maling curi (mencuri); samun sakal (menyamun), dahaga dahagi (memberontak); umbuak umbai (rasuah); siar bakar (membakar atau melakukan ‘arson’) dan terakhir, upas racun (santau menyantau).
Saya berpandangan, tindakan di Tampin itu wajar disiasat menurut adat sebagai dahaga dahagi. Pembesar adat yang waras dan sekalian Ibu Soko juga perlu menyiasat jika terdapat anasir umbuak umbai atau rasuah dalam hal ini. Sangat menghairankan tiada angin tiada ribut Yamtuan Besar dipecat. Belum berlaku dalam sejarah, jangan-jangan, mungkin semua ini dilakukan di balik tabir untuk membebaskan seseorang yang melakukan umbuak umbai? Naudzubillah.
FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





