Kenyataan Anggota Parlimen (MP) Pasir Gudang Hassan Karim, mantan pengerusi PKR negeri Johor, tentang keadaan PKR tidak memeranjatkan pemain dan pemerhati politik. Hassan antara MP yang menyuarakan rasa hati serta buah fikir secara jujur lagi ikhlas.
Luahan hasil fikirnya sentiasa memihak kepada kepentingan rakyat marhaen tanpa memikirkan kepentingan presiden atau parti. Beliau pernah menyatakan tidak terikat kepada parti tetapi rakyat serta pengundi. Jelas Hassan tidak mengejar kedudukan atau pangkat. Sebaliknya hanya berkhidmat untuk rakyat serta negara.
Bila Hassan bersuara, ramai yang memberi perhatian terhadap kenyataannya. Antara curahan beliau, “Aku melihat PKR sekarang, cedera, luka dan parah. Banyak darah yang keluar. Jika tidak segera dirawat, boleh membawa lumpuh, jika pun tidak, mati.”
Hassan sendiri meluahkan rasa kecewa bila mana pandangan jujurnya dikesampingkan persis tiada nilai.
“Jadi aku kini memilih untuk membisu dan berdiam diri sahaja. Aku hanya melihat ramai sahabat-sahabatku dalam kalangan ahli-ahli parlimen senior PKR sudah hilang semangat pada waktu ini.”
Ingatan Hassan kepada kepimpinan PKR ini hanyalah seperti abu di atas tunggul. Telah banyak beliau membuat kritikan membina terhadap kepimpinan PKR sebelum ini. Tetapi semuanya persis mencurah air ke daun keladi.
Kepimpinan PKR barangkali sudah lupa diri. Anwar Ibrahim sendiri merasakan beliau memegang pancang kuasa yang tidak mampu digugat. Sering beliau menyatakan bahawa dirinya mendapat dukungan daripada 158 MP.
Sokongan melepasi dua pertiga iaitu 148 MP. Benarkah Anwar mendapat dukungan sepenuh hati daripada 158 MP? Apakah sokongan daripada MP Sarawak itu jujur lagi ikhlas? Sedangkan musuh kepada GPS adalah PKR dan DAP atau PH itu sendiri.
Parti tiada ‘state base’
Anwar, kepimpinan PKR serta pendukung seperti terlupa bahawa Anwar menjadi perdana menteri hanya secara kebetulan. PKR cuma memenangi 31 daripada 222 kerusi parlimen semasa PRU15. Kemudian Ahmad Zahid Zamidi mengheret 30 MP Umno/BN menyertai PH.
Lantas disertai oleh MP dari Sarawak dan Sabah. Jadi jelas Anwar menjadi perdana menteri bukan kejayaan PKR memenangi jumlah kerusi yang besar seperti di era Umno pada 60-an hingga 2004.
Memang PKR menjadi menteri besar (MB) di Selangor dan Negeri Sembilan. Senarionya sama seperti pembentukan Kerajaan Persekutuan. Semuanya adalah kerajaan campuran.
Amirudin Shari mungkin tidak sedar bahawa kedudukannya yang sebenar seperti pepatah bagai telur di hujung tanduk. Beliau menjadi MB kerana disokong oleh DAP, Amanah selain Umno.
Amirudin bersila di kerusi tersebut hanya dengan 12 Adun dari PKR. Selebihnya 15 Adun DAP, lima Adun Amanah dan dua Adun Umno. Bermakna PKR memimpin Selangor hanya 12 daripada 56 kerusi DUN Selangor.
Jelas Selangor bukan state base atau kubu kuat negeri bagi PKR. Jadi kedudukan PKR Selangor bergantung kepada kedudukan Kerajaan Persekutuan. Sekiranya kerajaan campuran di peringkat persekutuan pecah, sudah tentu kerajaan negeri Selangor turut terbarai.
Kedudukan PKR di Negeri Sembilan lagi parah. Aminuddin Harun bertenggek di kerusi MB atas ihsan DAP, Umno serta Amanah. PKR hanya mempunyai lima daripada 36 kerusi DUN. DAP menang 11, Amanah (1), Umno (14) selain PN (5). Jadi Negeri Sembilan bukan state base buat PKR.
Sebenarnya PKR tiada state base dan tiada kekuatan di peringkat persekutuan. Nyawa PKR akan diuji pada PRU16 nanti. Sekiranya di peringkat Persekutuan wakil PKR tidak lagi menjadi perdana menteri, maka PKR akan menggelunsur di Selangor serta Negeri Sembilan. Selepas itu PKR akan menjadi parti kecil yang mungkin turut berkelana seperti Gerakan, MCA dan MIC.
Sejarah mengajar bahawa mana-mana parti yang terlucut state base masing-masing akan mengecil, menguncup yang akhirnya menjadi parti nyamuk. Contohnya MCA yang pernah berkuasa di Pulau Pinang dengan Wong Pow Nee sebagai ketua menteri (1957-1969). Kemudian MCA tewas kepada Gerakan pada PRU 1969. Pengaruh MCA terhadap pengundi Cina terus merosot.
Gerakan merampas kerusi ketua menteri Pulau Pinang melalui Lim Chong Eu pada PRU 1969. Akhirnya Gerakan tewas kepada DAP pada PRU 2008.
Selepas kekuasaan MCA dan Gerakan hilang di Pulau Pinang, kedua-dua parti ini terus berkelana mencari nirwana.
Hanya DAP sejak ditubuhkan pada Oktober 1965, tidak memerlukan state base. Parti ini secara automatik menjadikan bandar sebagai tapak. Selepas mendapat Pulau Pinang, barulah DAP mendapat state base. Bermakna selagi ada bandar dan terdapat pengundi Cina di situ, DAP tetap akan kekal.
PKR akan tersembam?
Imej Anwar begitu hodoh sejak kebelakangan ini. Integritinya sangat tercalar kerana isu Azam Baki, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan dakwaan “mafia korporat”. Segala janjinya sebelum berkuasa tidak dipenuhi. Penghidupan rakyat semakin menurun kesan kenaikan harga barangan. Ada subsidi ditarik. Cukai yang menyusahkan, terutama kepada golongan peniaga. Akta drakonian yang dahulunya ditentang kini dipergunakan untuk menekan musuh politik.
Banyak agensi kerajaan diperalatkan atas kepentingan politik peribadi. Tegasnya reformasi yang menjadi senjata utama meruntuhkan Kerajaan BN telah menjadi tumpul malah menjadi senjata memakan tuan.
Barangkali bertolak dari kelemahan itulah maka DAP menyatakan untuk keluar daripada kerajaan campuran. DAP mahu membersih serta melepaskan diri daripada terpalit dengan kelemahan tersebut.
DAP percaya, dengan menjauhkan diri daripada Anwar parti tersebut akan kembali mengutip undi orang Cina. Kekalahan teruk DAP dalam PRN Sabah pada November 2025 lepas dengan kegagalan semua calonnya, menjadi igauan menakutkan buat Anthony Loke.
Pergolakan dalam PKR selepas pengundian kepimpinan pada Mei 2025 tidak pernah reda dan aman. Faham sektarian melanda PKR. Akhirnya seolah-olah parti terkoyak apabila Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Ahmad keluar PKR, sekali gus melepaskan kerusi parlimen mereka. Malah mengumumkan memimpin Parti Bersama. Kesannya mula ketara, bila terdapat ahli dan kepimpinan cabang mengisytiharkan keluar PKR dan menyertai Bersama.
Tindakan Rafizi dan Nik Nazmi tentulah akan memberi tamparan yang keras kepada PKR. Ini disandarkan kepada dapatan kajian di 66 kerusi parlimen yang dijelaskan pemimpin PKR kepada pemimpin cabang. Menariknya hanya tujuh sahaja kerusi parlimen yang selamat.
Empat dari kerusi yang selamat itu dimiliki oleh pasukan Rafizi. Selain itu, terdapat 13 kerusi yang mungkin boleh dimenangi oleh PKR. Ini menunjukkan, kalau PKR bernasib baik boleh memenangi 20 kerusi parlimen. Bermakna hilang 11 kerusi parlimen dari 31 yang dimenangi pada PRU15.
Sebagai kesimpulan, jelas sekali PKR sedang menuju ke zaman gelap selepas PRU16 nanti. Parti yang melaungkan slogan reformasi dalam mendapatkan sokongan rakyat tidak mampu bertahan lama. Akhirnya slogan itulah yang merobek pengaruh mereka, apabila Rafizi mengatakan PKR menyimpang jauh daripada reformasi sebenarnya. Ramai melaungkan Reforbasi. Reforbasi!
KAMARAZAMAN YACOB adalah penganalisis politik yang mempunyai latar belakang penuh warna-warni. Abang kepada perdana menteri kesembilan Ismail Sabri Yaakob itu merupakan pemimpin pelajar di era 70-an dan pernah menjadi ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dia juga pernah memimpin beberapa parti kecil seperti Parti Kuasa Rakyat (Kuasa) dan Parti Tindakan Rakyat Malaysia (Mira).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





