Statistik kemalangan jalan raya di Negeri Sembilan menunjukkan trend membimbangkan apabila 10,195 kes direkodkan sepanjang tempoh empat bulan lepas, kata Ketua Polis negeri Datuk Alzafny Ahmad.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 126 kes ialah kemalangan maut dengan 134 kematian termasuk ada yang melibatkan lebih seorang terkorban dalam satu kejadian manakala kemalangan parah (83 kes), kemalangan ringan (237 kes) dan hanya kerosakan kenderaan (9,749 kes).
“Hampir 46 peratus kematian melibatkan penunggang motosikal yang berpunca daripada hilang kawalan termasuk disebabkan mengantuk serta pemanduan jarak jauh yang menyebabkan keletihan sehingga menjejaskan tahap tumpuan.
“Pencahayaan terhad, khususnya pada waktu malam turut menyumbang kepada peningkatan risiko kemalangan selain kecuaian individu sendiri,” katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.
Selain itu, beliau berkata beberapa faktor lain punca kemalangan termasuk mengikut rapat kenderaan lain dengan 2,581 kes, kurang peka dan gagal mengesan objek (2,351 kes) yang turut melibatkan 24 kematian serta terbabas sendiri (1,321 kes, 39 kematian).
Alzafny berkata kecuaian di simpang mencatatkan 1,318 kes manakala keletihan, mengantuk atau hilang tumpuan menyebabkan 13 kematian.
Beliau berkata polis akan terus meningkatkan penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan jalan raya dan keselamatan pengguna jalan raya terpelihara.





