Sekumpulan pemimpin tradisional dari keturunan Klana Hulu mengumumkan mereka sebulat suara melantik Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang baru bagi wilayah itu.
Ini berlaku ketika Mubarak Thahak dan penyokongnya - termasuk tiga undang yang lain - terus menegaskan bahawa dia masih menjadi Undang Sungai Ujong.
Dalam kenyataan Majlis Datuk Lembaga Adat Sungai Ujong hari ini, keputusan itu dibuat “mengikut undang-undang teradat” iaitu merujuk kepada “berkeadilan, berundang, bersalasilah” dan “berteromba” pada 22 April lalu.
“Pemilihan (dibuat) mengikut salasilah pada Fasal 27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungai Ujong 1910 dan hukum adat patah tumbuh termaktub pada Fasal 5 Undang-undang Sungai Ujong,” kata kenyataan tersebut.
Ia ditandatangan oleh Waris Nan Tua Klana Hulu, Shaharumzaman Abdul Malik, dan bertarikh hari ini.
Faris, 29, merupakan seorang akauntan dan anak kedua kepada pasangan Johari Meor Ngah dan Ibu Soko Klana Hulu, Shazlina Abd Karim.
Ketika ini dia menjadi akauntan di sebuah firma insurans dan perundingan risiko bertaraf multinasional, Marsh, yang beroperasi di lebih 130 negara di seluruh dunia.
Menurut kenyataan dikeluarkan hari ini, Faris merupakan waris yang menjadi keturunan langsung Undang Luak Sungai Ujong yang pertama, Datuk Kelana Petra Bador, melalui keturunan sebelah ibu.
“Beliau juga merupakan piut Undang Sungai Ujong kelapan, Petra Ma’amor Kassim, dan Undang Luak Jelebu ke-12, Abdullah Luk,” katanya.
Sebelum ini Mubarak diketepikan daripada jawatan Undang Luak Sungai Ujong atas tuduhan melakukan kesalahan – yang tidak dinyatakan – dan langkah itu dilaporkan disahkan oleh Yang di-Pertuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir namun mencetuskan krisis dalam institusi diraja negeri tersebut.
Undang Jelebu, Johol, dan Rembau terus menyokong Mubarak dan mempertikaikan penyingkirannya.
Mereka kemudian secara bersama mendesak untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah negeri.
Minggu lalu, kerajaan negeri mengarahkan Mubarak mengosongkan kediaman rasminya dan menghentikan penggunaan dewan istiadat rasmi – suatu keputusan yang belum dipatuhinya.





