Jemaah Menteri hari ini menerima dan membincangkan hasil laporan siasatan oleh Peguam Negara berhubung isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata mesyuarat Kabinet juga telah memutuskan bahawa tindakan selanjutnya berkaitan perkara itu akan diambil Ketua Setiausaha Ngeara (KSN), Shamsul Azri Abu Bakar.
Bagaimanapun, Fahmi berkata dia tidak akan mendedahkan butiran hasil laporan tersebut buat masa ini.
“Jemaah Menteri pada hari ini telah menerima dan membincangkan hasil laporan siasatan oleh Peguam Negara dalam isu saham Ketua Pengarah SPRM.
“Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa tindakan selanjutnya akan diambil oleh Ketua Setiausaha Negara,” katanya dalam sidang media khas bersama perdana menteri di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, butiran lanjut tidak dapat didedahkan memandangkan terdapat langkah susulan yang perlu dilaksanakan oleh KSN.
“Saya tidak akan nyatakan apa hasil daripada laporan itu memandangkan ada langkah seterusnya yang perlu dilaksanakan oleh Tan Sri KSN.
“Untuk maklumat lanjut, kita tunggu kenyataan daripada Yang Berbahagia Tan Sri (Shamsul Azri),” katanya.
Kerajaan sebelum ini menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Ia susulan laporan Bloomberg mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.





