30.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 30, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Muda, PSM desak gubal akta jamin akses dana secara saksama

    Shopee Sale

    Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah menggesa Putrajaya menggubal Akta Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) yang menjamin akses saksama kepada peruntukan kawasan pilihan raya.

    Pandangan itu disuarakan kedua-dua parti terbabit selepas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, mendakwa pejabatnya disekat daripada akses ke sistem dalam talian MyKhas yang digunakan untuk mengurus peruntukan pembangunan kawasan pilihan raya.

    Sistem itu dikendalikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri.

    Dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini, Muda dan PSM berkata dana pembangunan kawasan pilihan raya bertujuan untuk membantu seseorang wakil rakyat menangani keperluan tempatan melalui sokongan untuk sekolah, persatuan komuniti, program kebajikan, projek infrastruktur berskala kecil dan inisiatif lain untuk komuniti.

    “CDF tidak sepatutnya dianggap sebagai keistimewaan politik yang dikhaskan untuk wakil rakyat tertentu.

    “Ia adalah instrumen pembangunan yang bertujuan untuk memastikan komuniti di semua kawasan pilihan raya menerima sokongan dan sumber yang mereka perlukan, tanpa mengira parti politik mana yang mereka undi,” kata kedua-dua parti itu.

    Pada 26 Mei lalu, Wong memberitahu Malaysiakini, walaupun dia membangkitkan isu tersebut dengan ICU, masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan selepas seminggu.

    Ketika dihubungi Malaysiakini kemudian ICU memaklumkan agensi itu tidak akan mengulas mengenai kes Wong.

    Peruntukan milik rakyat

    Muda dan PSM berpendapat peruntukan kawasan pilihan raya adalah dana awam yang bertujuan untuk pembangunan dan tidak seharusnya bergantung pada gabungan politik, kedudukan dalam kerajaan atau keputusan pentadbiran wakil rakyat.

    Oleh itu, mereka mencadangkan agar Akta CDF merangkumi:

    MENARIK:  PM Anwar tiba di Seoul untuk lawatan rasmi tiga hari ke Korea Selatan

    * Formula pengagihan dana yang telus dan adil kepada semua kawasan parlimen dan DUN;
    * Hak akses yang sama kepada dana pembangunan tanpa mengira kedudukan politik wakil rakyat;
    * Mekanisme pemantauan dan audit yang telus; dan
    * Perlindungan undang-undang yang menghalang mana-mana kerajaan daripada menggunakan dana pembangunan kawasan sebagai alat ganjaran atau hukuman politik.

    Muda dan PSM juga menggesa parti-parti pembangkang dan ahli parlimen yang komited terhadap pembaharuan institusi untuk menyokong undang-undang tersebut.

    “Peruntukan kawasan bukan isu partisan. Ia adalah isu keadilan, akauntabiliti dan hak rakyat untuk mendapat akses yang sama kepada pembangunan tanpa mengira parti yang mereka undi.

    “Peruntukan kawasan bukan milik kerajaan. Ia adalah hak rakyat,” katanya.

    Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

    Parti-parti tersebut merujuk kepada semakan kehakiman yang difailkan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas dia dinafikan akses kepada peruntukan kawasan pilihan raya susulan pengunduran Muda daripada blok kerajaan.

    “Hakikat bahawa pertikaian mengenai dana pembangunan kawasan kini perlu diputuskan oleh mahkamah menunjukkan betapa perlunya reformasi institusi yang lebih menyeluruh,” katanya.

    Menurut Muda dan PSM, seseorang wakil rakyat tidak sepatutnya merayu, berunding, atau mendapatkan remedi undang-undang untuk mengakses dana yang bertujuan untuk pengundi mereka.

    Sebelum ini, kumpulan penyelidikan kepentingan awam, Projek Sama, mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tentang ikrar PH dalam manifesto PRU ke-15 untuk menyediakan peruntukan yang sama rata tanpa mengira gabungan parti.

    NGO itu turut memetik janji PH bahawa peruntukan sedemikian akan disalurkan melalui parlimen dan bukannya Pejabat Perdana Menteri.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah