Parti Putra hari ini menzahirkan rasa dukacita yang mendalam berhubung krisis politik yang melanda Perikatan Nasional (PN) susulan keputusan PAS memutuskan kerjasama dengan Bersatu.
Presidennya, Ibrahim Ali berkata, Putra amat sedih dengan pergolakan luar dugaan itu namun memilih untuk tidak mengulas lanjut demi mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

"Kami amat dukacita, sedih dan tidak akan memberi ulasan yang boleh menimbulkan berbagai tafsiran dan jauh sekali menjadi batu api untuk dilihat sebagai hero dan menambahkan lagi luka yg sudah parah.
“Tidak ada makna menjadi hero di atas runtuhan persaudaraan Melayu dan ummah.
“Putra tidak mahu ada saham dalam kerja yang dilarang oleh Allah, iaitu membantu perpecahan yang akhirnya melemahkan umat sendiri," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Ibrahim, Putra sebelum ini menaruh harapan yang tinggi agar PN dapat menjadi wadah baharu untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan persekutuan daripada gandingan PH dan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

Bagaimanapun, katanya, Putra menghormati kedua-dua parti tersebut secara organisasi dan enggan memihak kepada mana-mana individu kepimpinan.
Mengulas mengenai budaya politik ketika krisis, Ibrahim turut mengingatkan semua pihak agar tidak menjadi "batu api" atau cuba mencari keuntungan peribadi daripada konflik yang berlaku.
"Kita yang merupakan rumput atau kepimpinan kecil, bila gajah sama gajah berlaga, maka kita akan terpijak jika tidak hati-hati.
“Sebab itu saya lebih bersandarkan kepada organisasi daripada individu dan tidak juga seperti barua-barua yang sibuk mencampuri urusan yang tidak ada kena mengena," katanya lagi.
Dia turut menyeru kepimpinan PAS dan Bersatu untuk merendahkan ego, kembali kepada panduan al-Quran, serta mencari titik pertautan demi masa depan umat Islam dan negara.





