PRN JOHOR l Malam itu gelap, segelap malam-malam sebelum ini di laluan sepanjang 50 kilometer yang menghubungkan Yong Peng ke Paloh.
Setiap selekoh berliku yang diredah tanpa sebatang pun lampu jalan terasa seperti sedang menguji had keberanian diri.
Sepanjang perjalanan hampir sejam itu, saya terserempak sekurang-kurangnya dua ekor ular sawa yang melingkar tenang dalam kegelapan malam, manakala puluhan bangkai biawak yang hancur digilis kenderaan bergelimpangan di atas jalan tar.
Lintasan fikiran pertama yang menerjah: Bagaimanakah agaknya perasaan seorang anak muda yang terpaksa meredah laluan ini setiap malam dengan menunggang motosikal? Dia mempertaruhkan nyawa bertarung dengan reptilia berbisa dalam kegelapan demi sesuap nasi?

Menurut Dr Ruben Arumungum, calon PH-DAP bagi DUN Paloh di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, jalan tersebut sudah terlalu banyak menuntut darah.
"Baru bulan lepas, tiga kemalangan maut dilaporkan termasuk sebuah tragedi menyayat hati yang mengorbankan tiga anak seorang guru, manakala seorang kakitangan kerajaan kini terlantar koma," katanya.
Ucapan takziah
Mendengar keluhan itu, Lee Ting Han selaku penyandang kerusi DUN Paloh dan juga calon BN segera menzahirkan ucapan takziahnya.
Dia tidak menafikan ada titik-titik hitam yang memerlukan perhatian segera di laluan tersebut.
"JKR (Jabatan Kerja Raya) pernah mencuba pemasangan garisan jalan reflektif di beberapa lokasi, namun keberkesanannya terhad," kata Lee.
Baginya, keselamatan jalan raya melangkaui batas politik kerana ia melibatkan nyawa manusia.

"Pendekatan yang lebih sesuai ialah pemasangan lampu jalan solar serta penambahbaikan perabot keselamatan jalan di lokasi berisiko berdasarkan audit keselamatan.
"Saya akan terus mendesak JKR Johor agar pelaksanaannya dipercepatkan secara berfasa," katanya kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas isu jalan ke Paloh.
Setelah masuk ke Pekan Paloh, suasana bertukar rentak.
Tinggal di kuil
Pandangan mata disajikan dengan deretan kedai lot bangunan lama yang dibina seawal tahun 1956, berselang-seli dengan kawasan perumahan taman.
Secara luaran, Paloh kelihatan seperti sebuah pekan yang lengkap dengan segala kemudahan asas. Ada kedai makan, pasaraya, klinik kesihatan, padang awam, sekolah, malah rumah ibadat pelbagai agama berdiri megah berhampiran.
Namun, di sebalik kebersamaan fizikal itu, ada satu lohong besar yang tertinggal: pembangunan ekonomi yang berterusan.
Pekan ini seolah-olah kehilangan nadinya yang paling utama, iaitu golongan muda.

Di sebuah restoran tempatan, seorang warga emas berusia 65 tahun duduk termenung.
Pada awalnya dia agak segan untuk berbicara, namun selepas sekian lama mendiamkan diri, dia mula membuka cerita dengan nada suara yang perlahan dan bergetar.
Dia seorang pesara. Isterinya sudah meninggal dunia dua tahun lalu. Tiga orang anaknya pula semuanya sudah berhijrah dan membina kehidupan di luar Paloh.
"Sekarang saya tinggal di kuil. Rumah terlalu sunyi... saya keseorangan. Di kuil, sekurang-kurangnya saya boleh berjumpa orang lain untuk luang masa bersama," katanya yang tidak mahu mendedahkan namanya.
Rintihan warga emas
Menurut calon PN, Jeevakumar Dayalan isu 'ibu bapa yang ditinggalkan' ini merupakan barah senyap di Paloh.
Ketiadaan kilang atau peluang industri memaksa anak-anak muda berhijrah beramai-ramai ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, malah menyeberang ke Singapura, meninggalkan generasi tua yang semakin mereput ditelan usia.
"Saya pun kenal pakcik yang menyendiri di kuil itu. Dari pagi dia datang, makan di situ, dan bersembang dengan sami kerana di rumah dia tidak ada sesiapa lagi untuk bercakap.
"Tiada siapa yang mahu tinggalkan kampung halaman kalau ada peluang di sini."
"Sebagai anak tempatan yang membesar daripada keluarga penoreh getah dan pemandu lori, saya melihat jurang kemudahan antara Paloh dan bandar terdekat seperti Kluang sebagai satu bentuk diskriminasi," katanya.

Bagi Jeevakumar, penyelesaian jangka panjangnya adalah dengan mewujudkan bengkel keusahawanan mikro bagi melatih anak muda setempat menjana pendapatan tanpa perlu membelakangkan orang tua mereka.
Sebaliknya, Ruben melihat polemik warga emas yang terasing ini daripada lensa kebajikan dan keselamatan perubatan yang kritikal.
Menyedari kepulangan anak-anak dari peranantauan memakan masa, dia cuba membina talian hayat buat golongan tua ini melalui inisiatif komuniti.
"Kami tubuhkan projek talian kecemasan untuk mendaftarkan warga emas ini. Jika sesuatu yang buruk berlaku di rumah, pasukan kami yang akan bertindak balas dahulu," kata Ruben.
Tarik pelabur
Dia juga sedang memperjuangkan peningkatan gred Klinik Kesihatan tempatan dan memastikan ambulans dapat beroperasi selepas jam 12 tengah malam.
"Apabila kecemasan berlaku pada waktu lewat malam, golongan tua ini sering kali tiada waris di sisi untuk memapah mereka ke hospital," katanya.
Namun bagi Lee, jalan keluar daripada kemelut penghijrahan ini memerlukan satu pelan pembangunan yang menyeluruh, bukannya sekadar projek kosmetik.
Dia percaya langkah daripada sifar kepada satu adalah yang paling sukar untuk kawasan luar bandar seperti Paloh.
"Ramai anak muda berhijrah kerana peluang pekerjaan yang lebih baik di bandar besar atau Singapura. Itu satu realiti yang perlu kita ubah," kata Lee.
Katanya, fokusnya sepanjang empat tahun lalu adalah membina asas yang kukuh terlebih dahulu bagi meyakinkan pelabur.
"Kini, kami akan merealisasikan projek tekstil moden bernilai tinggi di koridor Kluang–Paloh yang dijangka mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan baru.
"Projek ini sudah berjaya dibawa masuk dalam penggal ini dan diharap pecah tanah dapat dibuat akhir tahun ini.

"Dalam masa sama, projek Rumah Malaysia Sembrong akan membantu anak muda memiliki kediaman sendiri, manakala pembukaan Jalan Paloh–Bekok akan membuka koridor pertumbuhan baru," katanya.
Dia mengakui pembangunan sebenar adalah apabila anak muda ada pilihan untuk mencari masa depan dan membina keluarga di tanah kelahiran mereka sendiri.
Air kuning dan 'ketakutan sistemik'
Selain isu lampu jalan dan peluang kerja, isu kemudahan asas yang paling meresahkan penduduk adalah bekalan air.
Di sebuah taman permainan kanak-kanak, seorang warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai dikenali Uncle Tan mengeluh panjang sambil menghalakan jarinya ke arah pili air.
"Waktu perayaan macam Tahun Baru Cina, isu air kuning ini jadi berkali ganda lebih teruk," kata Tan.
Jeevakumar mengiyakan keluhan itu.
Dia menambah bahawa bukan sahaja air paip bertukar kuning, malah kemudahan bank juga sangat daif dan balai bomba setempat sudah terlalu uzur sehingga penduduk pekan dan estet terpaksa turun ke Kluang semata-mata untuk urusan dokumentasi rasmi atau perbankan.
Menjawab rungutan kronik mengenai isu air bersih ini, Lee menjelaskan bahawa pihaknya tidak mahu sekadar memberi janji kosong atau penyelesaian sementara.
"Berdasarkan kenyataan Ranhill SAJ (RSAJ) Kluang sepanjang tahun 2026, ia hanya menerima empat aduan sahaja masalah kualiti air di Paloh.
"Kesemua aduan-aduan tersebut telah disemak oleh Jabatan Kualiti Air. Keputusan kualiti air adalah mematuhi spesifikasi yang ditetapkan," kata Lee.

Tambahnya, komitmennya untuk terus mendesak Ranhill SAJ bersama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) supaya memberi keutamaan kepada kawasan luar bandar seperti Paloh.
Ini khususnya, dalam program penggantian paip, dan garis masa untuk pelaksanaan itu kini sudah pun berada dalam tindakan pihak Ranhill SAJ.
Bagaimanapun, pemeriksaan Malaysiakini di sekurang-kurangnya tiga tempat berasingan, mendapati air paip berkenaan jelas kelihatan kekuningan.
Minta 10 peratus lampu di KL
Berbalik kepada Tan , lelaki itu berkata bahawa dia percaya ramai penduduk di Pekan Paloh jatuh sakit kerana kekotoran air.
"Kalau boleh selesaikan isu air dan lampu jalan dulu," tambahnya.
Mendengarkan itu, seorang lagi warga emas Cina yang duduk di sebelahnya mencelah. "Kamu dari KL ah?" tanyanya kepada saya.
Apabila dijawab "ya", dia terus tersenyum sinis.
"Kamu di KL ada banyak bangunan, ada lampu banyak-banyak. Kalau kamu bagi 10 peratus lampu sana pasang sini, jalan-jalan sini sudah okay.
"Kamu datang cakap dengan saya buat apa? Kamu tanya menterilah! Kamu kata Paloh pekan koboi, tapi saya yang duduk di sini, ini pekan paling terasing di Johor tengah," kata warga emas itu.
Namun, sebaik sahaja wartawan meminta namanya untuk direkodkan, riak wajahnya berubah.
Dia menolak sambil ketawa mengekek, namun ketawa itu kedengaran pahit.
"Nanti kamu masuk nama saya dalam paper, saya tak dapat bantuan kerajaan nanti!"
Ketakutan sistemik seperti ini seolah-olah menjadi perkara biasa di kawasan luar bandar.

Hampir semua warga Paloh yang ditemui memilih untuk mengunci mulut kerana bimbang talian hayat bantuan material mereka dipotong oleh pihak berkuasa sekiranya terlalu lantang mengkritik.
Kehadiran ETS
Ironi terbesar buat Paloh ketika ini ialah kehadiran projek mega Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).
Di atas kertas, menggunakan ETS dari Paloh ke Kluang hanya memakan masa 10 minit berbanding 45 minit jika memandu kereta.
Namun, atas faktor fleksibiliti waktu kerja, kos, dan akses, sebahagian besar pekerja harian tetap tiada pilihan selain menunggang motosikal meredah jalan gelap pada waktu malam.

Malah, Ruben sendiri tanpa berselindung menggelar Paloh sebagai sebuah 'pekan hantu' pada hari-hari biasa disebabkan ketiadaan golongan muda.
DUN Paloh mempunyai 25,831 pengundi berdaftar di dalam kawasan yang mempunyai komposisi kaum yang agak seimbang iaitu Melayu (47 peratus), Cina (37 peratus), dan India (15 peratus).
Menurut Jeevakumar hanya sekitar 50 peratus sahaja yang benar-benar menetap di situ. Manakala, Ruben berkata baki separuh lagi berada di Singapura, Kuala Lumpur, dan Johor Bahru.
Pada PRU14 2018, calon PH Sheikh Umar Bagharib Ali memenangi kerusi ini dengan undi majoriti 783 sebelum kalah pada pada PRN Johor 2022 sewaktu sekatan Covid-19, dengan majoriti mencecah 3,176 undi.
Kini, dalam kehangatan kempen PRN Johor yang baru, Paloh kembali menjadi medan pertembungan naratif.
Antara rintihan jalan gelap penuh bahaya, air keruh, kerinduan ibu bapa yang ditinggalkan, dan janji-janji pelan pembangunan ekonomi masa depan, baki warga emas yang setia bertahan di pekan terasing ini memegang jawapan mutlak di jari mereka.





