28.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, July 7, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Mesyuarat kabinet ada bincangkan program Jana Wibawa – Zafrul

    Shopee Sale

    Bekas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Program Jana Wibawa ada dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Muhyiddin Yassin pada 13 Nov 2020.

    Tengku Zafrul, 53, berkata ia merupakan kali pertama perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri semasa dia memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan.

    Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada Mesyuarat Jemaah Menteri adalah rahsia kerajaan, Tengku Zafrul menjawab, semua Mesyuarat Jemaah Menteri adalah rahsia.

    Saksi pendakwaan ke-11 itu berkata demikian pada perbicaraan Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.

    Sementara itu, Tengku Zafrul bersetuju dengan cadangan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin bahawa setiap minit (catatan) mesyuarat adalah bukan arahan wajib dan dia mengakui banyak menerima minit (catatan) mesyuarat daripada Muhyiddin.

    Amer Hamzah: Berapa banyak minit (catatan) mesyuarat daripada Muhyiddin?

    Tengku Zafrul: Tidak pasti... banyak.

    Menjawab soalan mengenai surat cadangan berhubung pelantikan 54 kontraktor, saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tiada sebarang keterangan dikemukakan kepada pihak pendakwaan yang menunjukkan Muhyiddin ada kepentingan peribadi atau kewangan berkaitan syarikat-syarikat berkenaan.

    Semalam, Tengku Zafrul dalam pernyataan saksi dia menyatakan bahawa Muhyiddin mengeluarkan surat mencadangkan pelantikan 54 kontraktor bagi melaksanakan 54 projek di bawah Program Jana Wibawa secara rundingan terus.

    Dia berkata walaupun ia dilaksanakan secara rundingan terus namun syarikat-syarikat berkenaan masih perlu melalui proses penilaian kerana itu adalah tatacara kewangan dan perolehan kerajaan.

    Tengku Zafrul juga bersetuju dengan cadangan Amer Hamzah bahawa rundingan terus adalah perkara biasa dan ia digunakan bagi tujuan keselamatan negara, kepentingan awam dan keadaan yang mendesak.

    Dia turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa semua projek berkenaan tidak boleh dilaksanakan oleh seorang menteri sahaja, sebaliknya memerlukan kelulusan pihak berkuasa yang lebih tinggi.

    Program Jana Wibawa merupakan satu program yang diwujudkan bagi merangsang pembangunan kontraktor bumiputera serta merancakkan sektor pembinaan negara bagi membantu negara menghadapi kesan negatif akibat penularan pandemik Covid-19.

    MENARIK:  Kes IS: Bekas ketua kumpulan Wolf Pack dipenjara 10 tahun

    Objektif utama program itu adalah untuk membantu kontraktor bumiputera serta pembekal bahan binaan yang terkesan akibat pandemik tersebut, di samping memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi dalam sektor pembinaan negara.

    Tengku Zafrul bersetuju dengan peguam bahawa kontraktor “terjejas teruk” pada waktu itu dan bantuan kepada mereka akan memberi “kesan limpahan” kepada ekonomi.

    “Anda dapat melihat masalah yang dihadapi oleh sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), bumiputera dan kontraktor serta keseluruhan ekosistem. Berdasarkan kepentingan dan kebimbangan itu, sebab itulah kami mencadangkan Jana Wibawa,” katanya.

    Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian merupakan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan tanda empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Anggota Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

    Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah