PARLIMEN | Perdana Menteri berkata sebarang aduan terhadap wartawan dari organisasi media yang diiktiraf tidak lagi membawa kepada tindakan automatik, sebaliknya perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Media Malaysia (MMM).
Anwar Ibrahim berkata mekanisme itu diwujudkan bagi memastikan sebarang tindakan terhadap pengamal media dibuat secara lebih adil, telus dan bebas, sekali gus mengelakkan wartawan diheret ke dalam siasatan atau pendakwaan tanpa penelitian sewajarnya.
Menurut Anwar wartawan tidak sepatutnya mudah dikenakan tindakan hanya kerana terdapat aduan daripada mana-mana pihak, justeru MMM akan menjadi mekanisme semakan awal sebelum sebarang tindakan diambil.
“Tidak ada undang-undang di dunia yang beri kebebasan mutlak kepada semua media untuk nyatakan apa saja... perdana menteri, pengamal media (masing-masing) terikat dengan undang-undang.
"Tetapi saya setuju, jangan heret wartawan dengan mudah dalam kes-kes yang difikir (mengkritik) oleh jabatan kerajaan.
“Kita mewujudkan MMM ini bagi memudahkan kerana kalau ada keterlanjuran oleh media, ia dirujuk kepada MMM, tidak automatik didakwa atau disiasat kerana proses sekarang ini harus dirujuk kepada MMM sebelum diambil apa-apa tindakan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian sebagai menjawab soalan asal yang dikemukakan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai faktor kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2026 ke tangga 95 berbanding 88 pada tahun lepas.
Ahmad Fadhli juga membangkitkan persoalan tentang langkah komprehensif kerajaan bagi melindungi kebebasan media.
Menurut Anwar kerajaan terikat dengan pendirian yang dipersetujui bersama Majlis Raja-Raja yang sentiasa meneliti laporan berkaitan penghinaan terhadap institusi diraja serta kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.
“Kandungan yang mengandungi fakta tidak tepat atau kritikan politik semata-mata tidak dikenakan tindakan, sebaliknya kerajaan lebih mengutamakan penjelasan kepada umum berbanding penguatkuasaan, termasuk memberi penjelasan di parlimen.
“Kerajaan telah menambah baik kerangka perundangan negara, termasuk menerusi pindaan terhadap Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang antara lain memastikan kenyataan berbentuk sindiran terhadap perdana menteri atau pemimpin tidak lagi dikategorikan sebagai kesalahan jenayah,” kata beliau.
Anwar berkata penilaian oleh Reporters Without Borders (RSF) mengambil kira beberapa indikator termasuk dari konteks politik, kerangka perundangan, keadaan ekonomi, persekitaran sosiobudaya dan aspek keselamatan.
Perdana Menteri berkata antara cabaran lain yang turut mempengaruhi penilaian indeks tersebut ialah tindakan pemadaman kandungan oleh platform media sosial yang dibuat berdasarkan aduan pengguna dan bukan semestinya atas arahan kerajaan.
Perkara itu, kata Anwar, termasuk kandungan miliknya sendiri berkaitan Hamas yang pernah dipadamkan oleh platform media sosial walaupun kerajaan tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.
Anwar berkata tindakan kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga tidak semestinya diterima platform media sosial kerana keputusan akhir bergantung kepada dasar pengendali platform terbabit.





