Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka) Wilson Chang dibebaskan selepas semalaman dalam tahanan polis kerana didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Dalam satu kenyataan selepas dibebaskan, Chow mengulangi gesaan agar kerajaan negeri Pahang berjumpa dengan Samka dan menyelesaikan pertikaian mereka mengenai tanah yang digunakan untuk mengusahakan durian.

“Sejak lima hingga enam dekad lalu, mereka telah berusaha memohon geran tanah dan permit penanaman sementara.
“Kini sekalipun wujud campur tangan syarikat besar, asalkan pekebun dilayan dengan adil, kami sedia berbincang dan bekerjasama.
“(Namun) sekiranya kerajaan atau mana-mana konsortium terus mengambil pendekatan keras yang hanya mementingkan keuntungan durian sambil mengabaikan hak pekebun, maka sebarang bentuk kerjasama adalah tidak bermakna,” katanya.
Chang juga bersetuju dan berkata, bahawa pekebun dalam pakatannya juga menghormati kedaulatan undang-undang.
“Kami para pekebun mematuhi undang-undang tetapi ada pihak yang terang-terangan melanggar perintah mahkamah, terus menebang pokok dan memusnahkan titik peluh para pekebun.

“Ini adalah sesuatu yang amat menyedihkan. Kami sentiasa terbuka untuk berbincang dan bersedia bekerjasama dengan kerajaan tetapi mestilah atas asas keadilan dan saling menghormati,” kata Chang.
Kerajaan negeri Pahang sedang melaksanakan skim pengesahan pendudukan tanah untuk pekebun durian yang didakwa menceroboh tanah secara haram di negeri itu, dengan menawarkan pemajakan tanah tersebut kepada Royal Pahang Durian Resources-PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP).
Minggu lalu, para pekebun durian bertembung dengan pegawai kerajaan negeri ketika mereka sedang menebang pokok musang king di tanah yang dipertikaikan berhampiran Sungai Klau.

Tangkapan ke atas Chow dan Chang dipercayai ada kaitan dengan kejadian itu.
Para petani mendakwa kerajaan Pahang melanggar perintah mahkamah dengan menebang ratusan pokok musang king.





