Bekas penyampai radio Ismahalil Hamzah dipenjara 30 tahun oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, tiga tahun lepas.
Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Noorin Badaruddin bersama-sama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ismahalil, 53, sebelum ini.
Panel berkenaan mensabitkan Ismahalil mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Hakim Mohd Radzi ketika membacakan penghakiman berkata hakim bicara yang membebaskan Ismahalil pada Julai tahun lepas, telah tersalah arah dalam menilai fakta serta undang-undang, sekali gus mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.
Beliau berkata hakim yang mengendalikan bicara gagal menilai sewajarnya keterangan yang menunjukkan hanya Ismahalil mempunyai akses ke bilik tempat dadah itu ditemukan, walaupun isterinya memberi keterangan bahawa orang lain turut mempunyai akses ke kawasan berkenaan.
“Keseluruhan keterangan membuktikan bahawa tertuduh mempunyai pengetahuan, jagaan dan kawalan terhadap dadah berkenaan. Oleh itu, kami membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengetepikan keputusan hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, peguam Hermes Media Putra Ibrahim, yang mewakili Ismahalil memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memohon mahkamah mempertimbang hukuman penjara mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, dengan mengambil kira faktor usia tertuduh yang melebihi 50 tahun dan tidak dikenakan hukuman sebatan.
Pada 17 Julai 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Ismahalil daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, di akhir kes pembelaan.
Ismahalil didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di Kuala Lumpur, pada 5.35 petang, 27 Ogos 2021, mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.





