Perlindungan terhadap pemberi maklumat perlu menjadi keutamaan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian dan Ketua Pengarah (KP) jabatan bagi memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2030.
Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Gunawan Che Ab Aziz berkata usaha itu penting bagi memastikan warga perkhidmatan awam tidak lagi berasa takut untuk melaporkan salah laku, sekali gus memperkukuh integriti organisasi.
Beliau berkata KSU dan KP perlu menterjemahkan komitmen kerajaan terhadap pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 hingga ke peringkat akar umbi, termasuk memastikan Unit Integriti di setiap kementerian berfungsi secara lebih bebas dan melapor terus kepada SPRM.
“Keberkesanan pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) juga wajib dijadikan petunjuk prestasi utama (KPI) tegar untuk menentukan kenaikan pangkat pegawai gred tinggi bagi memastikan agenda antirasuah dilaksanakan secara berkesan,” katanya dalam satu artikel bertajuk Menggalas Amanah CPI: Reformasi Radikal Kini di Tangan KSU dan KP.
Mohd Gunawan berkata selain memperkukuh perlindungan pemberi maklumat, KSU dan KP perlu memimpin reformasi menyeluruh dalam sistem perolehan dan kontrak awam kerajaan dengan melaksanakan tender terbuka secara mutlak serta mewajibkan pengisytiharan pemilik sebenar bagi setiap syarikat pembida.
-- LAGI
SPRM-PEMBERI MAKLUMAT 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Katanya langkah itu selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 bagi mengekang amalan kronisme dan proksi, selain berharap penggubalan Akta Perolehan Kerajaan disegerakan sebagai payung perundangan lebih kukuh.
Beliau turut mencadangkan urusan penyampaian perkhidmatan kerajaan didigitalisasikan sepenuhnya bagi mengurangkan ruang budi bicara serta interaksi fizikal yang berpotensi membuka peluang kepada amalan rasuah.
Beliau berkata penggunaan sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI), kelulusan automatik berpandukan algoritma dan jejak audit digital mampu meningkatkan ketelusan serta membolehkan sebarang keputusan luar biasa dikesan secara masa nyata.
“Selain itu, setiap kementerian perlu mengamalkan akauntabiliti lebih tegas terhadap teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), termasuk menetapkan tempoh maksimum tiga bulan untuk melaksanakan tindakan pembetulan atau tindakan tatatertib terhadap kelemahan dibangkitkan.
“Pendekatan ini perlu disokong dengan pelaksanaan dasar data terbuka bagi membolehkan perbelanjaan kementerian disemak secara telus oleh media dan masyarakat,” katanya.
Mohd Gunawan menegaskan Malaysia tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian semasa walaupun berjaya meningkatkan kedudukan ke tangga ke-54 daripada 182 negara dalam CPI 2025 dengan skor 52 mata.
Beliau berkata sasaran negara untuk berada dalam kelompok 25 negara terbaik dunia menjelang 2030 memerlukan anjakan paradigma lebih agresif dan berstruktur, dengan KSU serta KP memainkan perananan sebagai peneraju integriti dalam jentera pentadbiran awam.





