Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pada Khamis bahawa ekonomi global berisiko terperanangkap dalam laluan pertumbuhan rendah dengan hutang tinggi, sambil menggesa pembuat dasar bertindak terhadap hutang dan melaksanakan pembaharuan yang menyokong pertumbuhan.
"Ekonomi global berisiko terperanangkap dalam laluan pertumbuhan rendah dengan hutang tinggi, yang bermakna pendapatan lebih rendah dan pekerjaan yang lebih sedikit. Ia juga bermakna hasil kerajaan lebih rendah, jadi kurang pelaburan untuk menyokong keluarga dan menangani cabaran jangka panjang seperti perubahan iklim," kata Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva dalam sidang media semasa Mesyuarat Tahunan 2024 IMF dan Kumpulan Bank Dunia yang sedang berlangsung, lapor Xinhua.
Georgieva menyeru pembuat dasar memastikan inflasi kembali ke sasaran di semua negara, sambil menekankan bahawa cabaran utama bank pusat kini adalah untuk "menyelesaikan masalah inflasi tanpa merosakkan pasaran pekerjaan secara tidak perlu".
Kedua, dia berkata "sekarang adalah masanya untuk bertindak terhadap hutang dan defisit selepas bertahun-tahun menyokong fiskal yang diperlukan. Sekarang adalah masa untuk membina semula penampan fiskal di kebanyakan negara. Ini boleh dilakukan secara beransur-ansur, tetapi ia perlu dimulakan sekarang."
Ketiga dan paling penting, katanya lagi, negara perlu melaksanakan pembaharuan yang menyokong pertumbuhan seperti mengurangkan kerenah birokrasi dan memperbaiki tadbir urus, sambil menekankan analisis IMF menunjukkan pembaharuan ini dapat meningkatkan keluaran sebanyak lapan peratus dalam tempoh empat tahun di negara membangun.
Dalam Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) terkini yang dikeluarkan pada Selasa, IMF mengekalkan unjuran pertumbuhan global pada 2024 sebanyak 3.2 peratus, konsisten dengan unjurannya pada Julai. Prospek pertumbuhan bagi tempoh lima tahun akan datang kekal suram, pada 3.1 peratus, terendah dalam beberapa dekad.
Ekonomi maju dijangka berkembang sebanyak 1.8 peratus tahun ini, manakala ekonomi pasaran baru muncul dan membangun akan berkembang sebanyak 4.2 peratus. Ekonomi China dijangka berkembang sebanyak 4.8 peratus, menurut unjuran itu.
Menjawab soalan daripada Xinhua, Georgieva dalam sidang media berkata IMF akan menilai dengan teliti langkah-langkah yang baru diumumkan oleh pihak berkuasa China bagi menentukan kesannya, sambil menegaskan bahawa 'langkah-langkah ini bergerak ke arah yang tepat'.
Ketua IMF itu juga menekankan, China sudah sekian lama berhadapan dengan persimpangan: sama ada meneruskan dasar pertumbuhan berasaskan eksport atau meningkatkan penggunaan domestik, dan menukar enjin pertumbuhan kepada pengguna China.
"Kami berpendapat bahawa memandangkan ekonomi China telah berkembang begitu pesat, penggunaan domestik adalah sumber pertumbuhan yang lebih boleh diharap," katanya.
Dia berkata dalam jangka pendek, satu halangan besar kepada keyakinan pengguna adalah sektor hartanah dan tindakan tegas untuk menyelesaikan masalah itu akan membantu meningkatkan keyakinan pengguna.
Melangkah ke hadapan, "dengan pembaharuan dalam sistem keselamatan sosial dan pencen yang memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa mereka tidak perlu menyimpan secara berlebihan, sebaliknya boleh bergantung kepada sistem itu, ini bermakna mereka akan berbelanja lebih banyak," tambahnya.
"Dengan mengambil sektor ekonomi yang agak kurang berkembang dari sudut pengguna seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, dan penjagaan warga tua, serta menjadikan perkhidmatan sebagai pendorong utama pertumbuhan, ini akan membantu," katanya, sambil menambah bahawa dia pasti kepimpinan di China sedang meneliti pilihan itu.
-Bernama