Seramai 601 banduan dari 34 institusi penjara seluruh negara bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini bersama keluarga menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani, satu inisiatif Jabatan Penjara Malaysia yang menekankan aspek pemulihan insani selaras dengan prinsip Malaysia Madani.
Jabatan Penjara berkata mereka yang terpilih telah digelar sebagai Orang Bebas Berlesen (OBB) setelah memenuhi pelbagai kriteria ketat seperti tingkah laku baik, penglibatan aktif dalam program pemulihan, serta pertimbangan risiko keselamatan kepada masyarakat.
Pelaksanaan PBSL dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Akta Penjara 1995, yang membenarkan pelepasan bersyarat kepada banduan bagi tempoh tertentu sebelum tarikh tamat hukuman sebenar.

“PBSL Ihsan Madani ini bertujuan memberi peluang kedua kepada banduan yang telah menunjukkan perubahan positif, selain memperkukuh ikatan kekeluargaan dan membantu proses integrasi semula ke dalam komuniti,” jelas jabatan penjara pada kenyataan hari ini.
Pelepasan ini juga bukan bersifat mutlak – banduan yang dibebaskan akan terus dipantau dan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu oleh pihak penjara bagi memastikan pematuhan dan pencegahan pengulangan kesalahan.
32,268 bebas berlesen sejak 2020
Program PBSL bukanlah sesuatu yang baru, sejak diperkenalkan semula pada Oktober 2020, ia telah memberi peluang kepada ribuan banduan untuk kembali ke pangkuan keluarga secara bersyarat.
Menurut rekod Jabatan Penjara Malaysia, sehingga Mac 2024, seramai 32,268 prospek telah diberikan kelulusan untuk menyertai program ini.
PBSL juga dilihat sebagai satu pendekatan progresif dalam sistem pemulihan, memfokuskan kepada pengurangan kesesakan penjara, pengukuhan hubungan sosial, dan pengurangan kadar jenayah ulangan.
Sementara itu, Jabatan Penjara Malaysia juga menyeru masyarakat agar menerima bekas banduan dengan hati terbuka dan memberi sokongan terhadap proses pemulihan mereka, sejajar dengan nilai-nilai belas ihsan, keadilan dan keterangkuman yang diangkat dalam kerangka Malaysia Madani.
"Setiap individu berhak mendapat peluang untuk memperbaiki diri dan kembali berbakti kepada masyarakat.
"Ia juga merupakan salah satu usaha kami untuk menyokong pemulihan banduan secara holistik," kata jabatan penjara.





