Parti Gerakan mengecam tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mengumumkan peruntukan hampir RM18 juta dalam majlis Sentuhan Kasih, menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, semalam.
Tindakan itu, kata presidennya, Dominic Lau juga boleh dianggap sebagai usaha membeli undi dengan alasan menjalankan tanggungjawab yang ada serta pengaruh yang tidak wajar kerajaan terhadap pengundi Sungai Bakap yang bakal mengundi pada 6 Julai depan.

Malah, sekutu Perikatan Nasional itu, turut menyelar Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang didakwa mengambil kesempatan sempena AidilAdha dengan pemberian gula-gula sebanyak RM290,000 kepada pengundi Sungai Bakap dengan harapan dapat merampas kerusi DUN tersebut.
“Kerajaan Madani dilihat sangat kebal kerana pelanggaran demi pelanggaran terhadap etika pilihan raya telah di buat ia bermula daripada PRK Kuala Terengganu, PRK Kemaman, PRK KKB dan kali ini PRK Sungai Bakap.
“Perbuatan terkutuk ini dibuat demi mengekalkan kuasa dan jawatan.
“Dengan mentaliti ini, eksploitasi politik wang berasaskan kepentingan parti berterusan, menjadi norma harian kerajaan Madani. Ini menyebabkan ketidaksamaan yang lebih besar dalam gelanggang pilihan raya antara pembangkang dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Lau menggesa kerajaan agar menghentikan amalan tidak beretika ini yang bercanggah dengan prinsip perlawanan politik atas padang yang sama rata.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperuntukkan hampir RM18 juta bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur awam di Seberang Perai demi kesejahteraan penduduk setempat.
Nga berkata, ia meliputi sepuluh projek membabitkan projek bina baharu, baikpulih projek pembangunan serta kerja-kerja menaik taraf landskap termasuk penyaluran peruntukan kepada enam Inisiatif Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI).
Mengulas lanjut, Lau menuntut kerajaan supaya mewujudkan garis panduan yang menyeluruh berkenaan etika kerajaan sementara dan kerajaan bukan sementara semasa tempoh pilihan raya dan sebaik sahaja terdapat pembubaran parlimen/DUN.
“Penting untuk diingatkan bahawa nasib dan kemajuan rakyat Malaysia kini dipegang oleh seorang pemimpin bukan berakal dan tidak berjiwa rakyat.
“Gerakan berharap semua rakyat memberi isyarat jelas kepada perdana menteri dan kabinet beliau yang sama sekali tidak berfungsi sehingga hari ini.
“Pengundi Sungai Bakap perlu introspeksi dan bertanya kepada diri sendiri, adakah kerajaan Madani mampu menjaga seperti perkhidmatan terbaik yang telah dibuat oleh bekas Adun Sungai Bakap daripada Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.





