Kementerian Kewangan mengesahkan telah mengeluarkan garis panduan kepada kementerian dan agensi kerajaan supaya menyusun semula keutamaan perbelanjaan mengurus susulan laporan bahawa kerajaan mengarahkan pemotongan perbelanjaan sebanyak RM10 bilion daripada RM229 bilion yang asalnya diluluskan sebagai perbelanjaan mengurus di bawah Belanjawan 2026.
Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan langkah tersebut selaras dengan cabaran krisis bekalan global dan tanggungan subsidi yang meningkat.
"Langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan pengurusan fiskal yang berhemat bagi mengoptimakan sumber Kerajaan supaya dapat mengekalkan sokongan kepada rakyat secara berterusan.
"Kementerian Kewangan ingin menekankan bahawa pelarasan perbelanjaan akan dibuat tanpa menjejaskan perkhidmatan kritikal kepada rakyat dan kestabilan ekonomi," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya pada sidang media mingguannya hari ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan tidak bercadang untuk membentangkan semula Belanjawan 2026.
Terdahulu, Reuters melaporkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican mengeluarkan arahan hari ini supaya kementerian dan agensi kerajaan mengurangkan perbelanjaan mengurus masing-masing.

Dia dilaporkan berkata lonjakan mendadak kos tenaga akibat konflik di Asia Barat menyebabkan bil subsidi kerajaan dijangka mencecah RM58.4 bilion tahun ini, berbanding RM15 bilion yang diperuntukkan dalam belanjawan asal.
Sehubungan itu, Johan berkata semua kementerian, jabatan dan agensi perlu menilai semula perbelanjaan mengurus bagi tahun ini dan mengemukakan cadangan pemotongan perbelanjaan sebelum 15 Mei.
Malaysiakini difahamkan arahan tersebut diklasifikasikan sebagai “sulit”.
Kurangkan belanja mengurus
Free Malaysia Today melaporkan arahan Kementerian Kewangan itu mencadangkan penjimatan RM10 bilion boleh dicapai melalui pengurangan perbelanjaan mengurus.
Daripada jumlah itu, RM3.06 bilion boleh dijimatkan daripada bajet RM46.5 bilion untuk Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala RM2.39 bilion lagi boleh diperoleh daripada bajet RM18.6 bilion Kementerian Pendidikan Tinggi.
Perbendaharaan pula dilaporkan mungkin mengurangkan RM664 juta daripada bajetnya sendiri, manakala Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan masing-masing boleh mengurangkan perbelanjaan sebanyak RM647 juta dan RM508 juta.
Cadangan pengurangan kos lain bernilai ratusan juta ringgit turut melibatkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (RM571 juta), Kementerian Pendidikan Malaysia (RM466 juta), dan Kementerian Digital (RM508 juta).
Arahan itu juga dilaporkan menyeru pembekuan tanpa tempoh bagi jawatan baru dan pengambilan penjawat awam, kecuali bagi jawatan kritikal dalam sektor seperti pendidikan, kesihatan, keselamatan, penguatkuasaan dan kutipan hasil.

Bagi kes sedemikian, proses pengambilan perlu tertakluk kepada kawalan ketat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan.
Sementara itu, acara rasmi, mesyuarat, persidangan, seminar dan bengkel yang dianggap “tidak perlu” diminta ditangguhkan, manakala program yang dianggap perlu akan dikecilkan skalanya.
Arahan itu turut menggalakkan kursus dan latihan yang perlu dilaksanakan secara dalam talian berbanding secara bersemuka.





